Isnin, 27 Disember 2010

Mengapa Melayu Berpolitik Mengikut Sentimen?

Tendensi pengundi Melayu memberi undi untuk mengangkat sesebuah kerajaan berpandukan sentimen adalah satu percaturan yang silap. Kesilapan berlaku apabila mereka malas mengangkat darjat akal. Akal yang menjadi aset paling berharga dalam diri manusia dipenyek oleh nafsu sehingga nafsu mendapat ruang udara yang begitu selesa untuk membuat percaturan bagi pihak tuannya. Nafsulah yang mencipta sentimen dan melenyapkan kewarasan budi. Mana mungkin seseorang itu dapat mencipta keputusan yang bijak dengan berpandukan sentimen?

Mengundi ialah kerja politik yang amat penting dalam sistem demokrasi. Sebelum mengundi, masing-masing sudah memahat simbol parti yang akan dipangkah. Simbol itu bukan dipahat sebaik Parlimen atau DUN dibubarkan. Malah bagi sesetengah orang pahatan itu telah berpuluh tahun usianya. Kalaulah pahatan itu besi, maka sudah berkarat besi itu.

Ada pengundi Saluran 1 berkata, “Pakcik dah pangkah dacing sejak kapal layar lagi.” Kapal layar itu merujuk kepada Parti Perikatan sebelum tertubuhnya Barisan Nasional. Seolah-olahnya sejak merdeka hingga alaf baru ini, dunia tidak pernah berubah. Bagi mereka UMNO sentiasa moleh sejak dulu, kini dan selama-lamanya. Mereka tidak dapat membezakan kepimpinan Tengku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn dengan kepimpinan Tun. Dr. Mahathir, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Dato’ Seri Najib. Apalagi untuk mereka sedari bahawa UMNO sebenar telah lama berkubur. Yang ada sekarang ialah UMNO Baru yang dibuang perkataan ‘Baru’nya.

Sejak dasar penswastaan yang diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir, UMNO bukan lagi berjuang untuk rakyat. Mereka juga tidak layak dipanggil wakil rakyat. Sebahagian besar ADUN atau AP-nya adalah wakil perut dan kroni. Mereka mengaut keberuntungan ekonomi yang tidak pernah berkecukupan. Mereka mencari sekawah lauk konon untuk dijamu bersama rakyat. Namun senduk mereka cukup besar untuk mengaut segala isi yang lazat-lazat maka ditinggalkanlah untuk rakyat yang mengundinya kuah agar dapat dihirup beramai-ramai. JKKK-lah yang menjadi tukang membahagikan kuah itu. Sempat juga JKKK merasai seketul dua daging yang ditinggalkan oleh wakil-wakil mereka.

Sikap politik masyarakat Melayu lebih berpaksikan sentimen terutamanya golongan tua dan golongan pengundi luar bandar. Mereka menyokong UMNO/BN macam golongan muda dan golongan bandar menyokong pasukan bolasepak. Menjadi satu fenomena bagi golongan ini memuja pasukan Manchester United (MU), Liverpool, Chelsea dan Arsenal. Pasukan bolasepak gergasi ini tiada kena-mengena pun dengan harta dan jatidiri rakyat Malaysia. Namun mereka yang gila bola boleh saja bersengkang mata kerana menunggu perlawanan yang melibatkan pasukan pujaan mereka. Mereka rela berhabis duit mengumpul jersey, mafla dan logo kebanggaaan EPL itu. Apabila pasukan pujaan mereka menang, mereka tidak mendapat apa-apa pun. Seduit pun tidak dihulurkan oleh juara EPL kepada mereka. Hendak dibanggakan pun tak layak dan dketawakan orang. Bila pula mereka membuat MOU dengan pasukan itu?

Inilah analogi sikap pengundi yang meletakkan sentimen sebagai asas sokongan mereka. Mereka buat parti politik bagaikan pasukan bolasepak. Mereka bertindak dalam pilihanraya seperti tindakan penyokong fanatik bolasepak. Mana mungkin begini? Di manakah letaknya akal yang waras? Mengapa diperbodohkan diri sendiri?

Menyokong dan memilih pasukan bolasepak tidak melibatkan dosa dan pahala. Siapa-siapa pun secara peribadi boleh meminati pasukan itu dan ini walaupun tanpa sebab yang konkrit. Itu diharuskan sahaja selagi pasukan yang disokong itu tidak membawa imej yang bercanggah dengan Islam. Malah kini telah pun heboh isu simbol syaitan dan minum keras yang terpapar pada jersey pasukan-pasukan berkenaan. Ini bermakna dalam hal sukan pun kita kena teliti agar tidak syirik atau rosak akidah sedangkan sukan pada dasarnya diharuskan oleh syarak.

Apalagi dalam hal politik dan memilih pemimpin. Semestinya melibatkan dosa pahala dan nasib diri serta generasi. Penulis tertarik dengan perbahasan pemuda kampung dalam isu hudud. PAS memperjuangkan hudud manakala UMNO menolak hudud dengan pelbagai alasan.

Kata pemuda itu sebagai konklusi perbahasannya, “ Agama saya kata orang mencuri mesti dipotong tangannya”. Dia berkata demikian kerana oponennya berkeras menolak hukum hudud. Pemuda yang mempertahankan hudud itu menggunakan ‘agama saya’ tidak ‘agama Islam’. Ini yang menarik bagi penulis. Apabila oponennya bertanya, “ Apa agamamu?” Pemuda itu menjawab, “Islamlah.” Lalu oponennya yang mendokong perjuangan UMNO berkata,“ habis, kau seorang saja Islam?” Maksudnya, aku juga Islam macam kamu. Lalu pemuda itu berkata lagi, “Agama aku kata pencuri perlu dipotong tangan. Agamamu kata pencuri sesuai dipenjara. Mana sama agama kita? Kalaulah agama kita sama tentulah hukumnya juga sama.”

Demikianlah satu misalan yang jelas bahawa politik PAS dan UMNO melibatkan hukum dosa dan pahala. Apalagi dalam memilih pemimpin. Tentulah perlu dipilih pemimpin yang jujur, tidak rasuah, boleh memimpin demi kebahagiaan dunia sampai ke akhirat yang kekal abadi. Mana boleh pilih pemimpin kaki rasuah, kaki perempuan, kaki botol, kaki tipu dan kaki sapu.

Kesimpulannya, masyarakat mestilah memilih parti dan mengundi bertolak dari keimanan di dada ( meskipun sedikit) dan disinari oleh akal yang bermaruah lagi bijaksana. Kita akan ditanya di akhirat kelak tentang amalan dan tindakan kita. Sebelum sampai di sana, di dunia ini pun kita inginkan kesejahteraan dan kemakmuran untuk diri dan terutamanya anak-anak kecil kita yang sedang membesar. Kesilapan kita memilih pemimpin bererti kita meletakkan nasib anak-anak kita dalam bahaya, gejala sosial yang menakutkan dan kesesatan hidup yang nyata. Janganlah berpegang kepada dakyah UMNO bahawa hidup hanya sekali sedangkan Islam mengajar kita bahawa hidup dua kali iaitu, sekali di dunia sekadar 60 tahun dan sekali lagi di akhirat yang kekal abadi. Ya, ingat-ingat sesungguhnya hidup ini dua kali, bukan sekali.

layari: bayangdiair.blogspot.com

Ahad, 5 Disember 2010

Sebulan terakhir jika PAS nak menang PRU 13

Posted on Tuesday, November 30 @ 17:30:00 PST

Dilulus untuk paparan oleh SongkokPutih
Oleh : Tulahan

Ramai yang jangka PRU 13 akan berlaku antara April hingga Jun tahun depan. Jika Najib adakan PRU 13 tahun depan maknanya pilihanraya Sarawak akan dibuat serentak.
Sekiranya pilihanraya Sarawak tidak dibuat serentak dengan PRU 13 tahun depan . Penulis tak jangka Najib akan buat PRU 13 tahun depan.

Memandangkan keadaan politik dan ekonomi yang dikatakan memihak kepada BN, Najib tak akan buang masa untuk buat pilihanraya kerana jika ditunggu tidak akan ada peluang besar seperti ini.

Walaupun tidak dapat majoriti dua pertiga pun tak pa macam ramalan Tun M, kerana yang penting bagi Najib adalah kekal berkuasa sebagai PM. Lebih baik menang walau bukan dua pertiga daripada kalah terus tak dapat jadi PM.

Jika benar PRU 13 tahun depan , sudah bersiapkah Pakatan untuk menghadapinya?. Penulis tidak akan fokus kepada PKR dan DAP tetapi kepada persiapan PAS untuk hadapi PRU 13.

Presiden dah rumuskan tiga penekanan penting untuk PAS mengantikan Umno iaitu Tarbiyah, Organisasi dan Strategi.

Penulis dah ada sentuh persoalan tarbiyah , organisasi dan Strategi dalam tulisan yang lalu. Namun mungkin itu untuk jangka masa panjang . Penulis akan sentuh lebih kepada tumpuan segera jamaah bagi menghadapi PRU 13 tahun depan.

Sebelum berlangsung PRU 13, tumpuan paling penting untuk mendapatkan undi adalah pengundi muda di kalangan anak-anak ahli dan penyokong. Banyak kawasan yang dah laksanakan tugas ini dan sebelum ini pun penulis pun ada bincang bab daftar pemilih.

Namun bagi penulis, usaha ini masih lemah kerana tiada kesungguhan dari jamaah kawasan terlibat. Masa hanya tinggal sebulan sebelum masuk tahun depan. Jika pilihanraya tahun depan , pemilih yang didaftar tahun ini sahaja layak mengundi. Sudah ramaikah yang sudah didaftarkan?

Penulis harap pendekatan turun rumah ke rumah ahli dan penyokong jamaah di cawangan dipraktikkan dalam masa sebulan terakhir ini. Gabungkan pimpinan kawasan, pemuda dan muslimat kawasan untuk sama2 turun cawangan .
Kepakaran muslimat menjadi perayu undi rumah ke rumah gunakan sepenuhnya untuk program ini. Sebulan terakhir ini jika ada program lain tangguh sementara untuk buat program ini. Inilah peluang terakhir menambah pengundi jika PRU 13 berlangsung tahun depan seperti diramal.

Jangan tuduh penulis tak sokong program tarbiyah untuk menang kerana turun rumah ke rumah ahli jamaah inilah praktikal kepada tarbiyah yang kita terima. Mengapa penulis kata begitu? Kerana ramai yang segan, malas, pentingkan kerja lain walaupun dah dapat tarbiyah.

Jangan tuduh penulis tak sokong program kebajikan untuk menang kerana turun ke rumah ahli dan penyokong pun adalah ziarah kebajikan. Berapa ramai ahli yang sakit, yang susah, yang perlu sumbangan tetapi jamaah kawasan tak ambil tahu kerana alasan tidak tahu atau tidak ada peruntukan. Inilah masanya kita bantu ahli dan penyokong yang memerlukan sumbangan.


Jangan tuduh penulis tak sokong pemantapan cawangan untuk menang kerana program sebeginilah yang akan mengaktifkan cawangan. Cawangan yang jarang buat mesyuarat pun jadi aktif sama2 cari rumah ahli dan penyokong untuk pimpinan kawasan turun. Ini lebih baik daripada bercakap nak aktif cawangan tapi cawangan mesyuarat hanya sekali setahun.
Jamaah kawasan yang belum buat program ini tentu akan mendapat jawapan dari cawangan, bila minta cawangan cari pengundi baru. “ Dah cari dah, habis semua dah daftar”
Tapi bila buat program ini, jamaah kawasan akan dapat jawapan bahawa itu hanya alasan cawangan melepaskan diri.

Sebulan terakhir ini bukan masa nak berkempen nak jadi calon atau berkempen nak jadi Yang Dipertua. Daripada buat perangai buruk Umno itu, baik tambah pahala bantu kawasan turun cari pengundi baru.

Turunkan semua ego sebagai pimpinan besar di pusat ka, negeri ka atau kawasan untuk bersama2 ke rumah ahli. Ahli akan seronok rasa berbangga jika YDP, TYDP , NYDP, Ketua Pemuda, Ketua Muslimat naik ke rumah mereka yang sebelum ini tak biasa2 naik.

Semua ini perlukan kesungguhan dan keikhlasan pimpinan kawasan. Penulis sungguh rasa terharu dengan kesungguhan dan keikhlasan seorang pimpinan tinggi dalam kawasan penulis.
Walaupun tahu tidak dipilih sebagai calon , langsung tidak lemahkan semangat untuk ketuai usaha turun ke rumah ahli.

Apabila ditanya berkenaan calon. Jawapannya “ Tak da nama pun tak pa. yang penting adalah kemenangan dan bagaimana nak urus kemenangan”.

Dia tidak ada rasa kecewa seperti sesetengah pimpinan yang tidak dicalonkan. Ada pimpinan yang tidak dicalonkan mula tuduh orang dengki dekat dia dan macam2.

Penulis harap sebulan terakhir ini , jamaah di kawasan dapat laksanakan usaha ini kerana sudah terbukti jamaah kawasan yang laksanakan program ini mendapat pengundi baru anak ahli dan penyokong berlipat kali ganda.
Wassalam

http://tulahan.blogspot.com/