Ahad, 20 September 2009

JALAN DIKASIHI MANUSIA, DISAYANGI ALLAH.






Cuba kita bayangkan bagaimana kita dapat mengharungi kehidupan jika kita dibenci dan dipulau oleh masyarakat dan kaum keluarga. Bagaimana pula jika kita mengetahui bahawa Allah memurkai kita? Bolehkah kita menerima situasi ini? Tentulah tidak, bukan?

Hidup seseorang akan bermakna dan berbahagia apabila dia dikasihi oleh manusia dan disayangi oleh Allah. Banyak mana pun harta seseorang, cantik dan tampan mana pun, cerdik dan hebat mana pun seseorang itu, tiada makna apabila dia dibenci dan dipulau oleh manusia manakala Allah pula murka dan berpaling darinya. Malah sekiranya dia mendapat kasih manusia tetapi dimurkai dan dibenci oleh Allah, apalah ertinya segala yang dimilikinya itu. Maka hendak tidak hendak, demi kesejahteraan diri manusia maka dia hendaklah memiliki kedua-duanya yakni kasih manusia dan sayang Allah.

Kasih manusia mampu diraih apabila kita memiliki dan mengamalkan sifat-sifat berikut:-

1. Baik hati - kita hendaklah mempunyai hati yang baik, ikhlas, tidak suka bermusuh dan bermasam muka, tidak suka mengumpat dan berburuk sangka. Orang seperti ini sentiasa bersangka baik, pemaaf dan pada wajahnya dihias keceriaan dan senyuman sebagai sedekah.

2. Pemurah - inilah satu sifat yang memikat silatulrahim dan persahabatan. Orang seperti ini tidak kedekut untuk berbelanja atau memberi hadiah untuk saudara-mara atau sahabat-handai. Hatinya tidak terasa berat untuk membelanjakan apa yang dia ada sebagai satu ibadat tanpa tagihan puji dan puja. Dia lebih suka tangannya mendahulukan. Dia lebih selesa ‘tangannya di atas berbanding dengan di bawah’.

3. Peramah - orang yang peramah mudah mendapat kawan. Dia tidak kekok untuk menegur, berbual dan bermesra. Pada wajahnya ada raut kemesraan, keceriaan dan keikhlasan. Peramah menolak rasa ego dan sombong. Dia akan menegur sesiapa sahaja pada masa dan situasi yang sesuai.

4. Rajin - manusia yang jenis ringan tulang mudah melekat di hati orang. Pantang diminta tolong, dia akan membantu dengan tenaganya. Apalagi kalau seseorang itu suka memberi bantuan tenaga tanpa diminta. Apabila dilihatnya manusia memerlukan pertolongan, dia tanpa diminta akan memberi bantuan.

Amalkan empat sifat yang dapat mencipta kasih manusia ini. Kalau tidak mampu memiliki keempat-empatnya, amalkan sekurang-kurangnya salah satu daripadanya dengan bersungguh-sungguh sehinga menjadi ‘trade mark’ kita.

Sayang Allah pula mampu diraih dengan melakukan amalan-amalan berikut:-

1. Taat - apabila manusia meletakkan dirinya pada tahap kehambaan yang sebenar dengan cara melakukan ketaatan, sudah pasti Allah sayang kepadanya. Manusia seperti ini menyempurnakan ibadat fardhu dan ajaran agama serta meninggalkan dosa-dosa besar di samping tidak mengekali dosa-dosa kecil.

2. Zikrullah - berzikir bermakna menyebut, memuji dan memuja Allah. Kerja menyebut, memuji dan memuja ini adalah kerja orang jatuh dalam alam percintaan. Apabila yang disebut, dipuja dan dipujinya ialah Allah yang menciptanya, maka dia telah menenggelamkan dirinya dalam percintaan suci. Allah dengan sifat Maha Pengasih dan Penyayang akan menerima kasih manusia seperti ini dan Allah akan membalas cintanya. Selangkah kaki kita melangkah untuk mendapat kasih sayang Allah, dua langkah Allah menuju kasih saying-Nya kepada kita.

3. Ibadat sunat - Orang melakukan ibadat sunat sangat besar ertinya di sisi Allah s.w.t. Dia sentiasa rasa tidak cukup dengan ibadat wajib. Dia ingin sentiasa berhubung dengan Ilahi demi mengharap kasih dan redha-Nya. Justeru itu, dia begitu menekuni ibadat-ibadat sunat kerana ibadat sunatlah menggambarkan keikhlasannya dalam beribadat. Walaupun Allah tidak mewajibkan namun dia tekun melakukannya atas dasar merapatkan kasih sayangnya dengan Allah.

Demikianlah antara beberapa langkah dalam menjadikan manusia berbahagia kerana dikasihi oleh makhluk di mukabumi dan disayangi oleh al-Khaliq pencipta alam dan syurga yang indah. Yakinilah bahawa apabila kita rasa dikasihi oleh manusia dan disayangi oleh Allah Ta’ala, maka kita akan merasa ketenteraman, kebahagiaan dan kesejahteraan jasmani dan rohani.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan