Ya akhi yang dirahmati Allah sekalian,
Sedarilah bawa mulut kita yang merangkumi bibir, lidah dan gigi adalah antara anggota yang paling ringan berbanding dengan kaki, tangan dan kepala. Gerakannya pula melibatkan otot-otot yang amat kecil dan pergerakan yang ringan. Perhatikan semasa kita bercakap; sejauh mana gerakan lidah dan dua bibir. Berapa peratuskah tenaga yang digunakan untuk menggerakkannya. Malah sekiranya kita berkata-kata dengan perlahan, orang yang berada di sekeliling kita pun tidak menyedarinya.
Ketahui oleh para pencita Allah sekalian bahawa antara fungsi mulut yang paling utama ialah berzikrullah. Tetapi sayangnya kita malas pula menggunakan mulut untuk melafazkan ayat-ayat yang mulia itu, sedangkan kita boleh bercakap berjam-jam tanpa henti untuk hal-hal yang tidak berfaedah. Dari mula bangun tidur hingga ke saat mata terlelap, banyak mana lidah digunakan untuk hal-hal keduniaan dan banyak mana pula lidah digunakan untuk memuji dan memuja Allah, Tuhan yang kita akan hadapi di Padang Mahsyar kelak?
Ketika duduk keseorangan sama ada ketika memandu, bersiar-siar dan berehat, kita lebih suka berdiam dan memberi rehat kepada lidah kita. Kononnya pada waktu-waktu lain lidah kita sudah banyak bekerja dan berkomunikasi dengan manusia lain. Habis, bilakah kita nak bersibuk-sibuk dengan Allah melalui lidah kita yang ringan itu?
Contohnya, cuba analisis kata-kata “lailaha illaLah” pada lidahmu. Huruf-hurufnya terdiri daripada huruf-huruf hijaiyah yang ringan sebutannya. Antaranya, huruf ‘alif’, ‘lam’ dan ‘ha’. Apabila kita melafazkannya secara perlahan, bibir tidak bergerak pun. Yang bergerak hanyalah hujung lidah. Ini bermakna apabila kita bertahlil di kalangan orang ramai pun, mereka tidak akan sedar bahawa kita sedang berzikir. Tiada peluang riak langsung. Hanya kita dengan Allah sahaja meskipun orang lain berada di sekeliling kita. Fikirkan bagaimana Allah telah aturkan satu kalimah suci yang mudah untuk hamba-Nya melazimkan pada lidah-lidah mereka. Tetapi sejauh mana manusia berfikirkan tentang ini.
Allah sentiasa merahmatimu wahai mukminin dan mukminat,
Pesanku; lazimkanlah lidahmu dengan zikrullah. Basahi lidah sentiasa dengan lafaz-lafaz suci dan mulia yang mengundang kasih sayang dan keampunan dari Allah.
Rebutlah kasih Allah yang satu sebelum datangnya murkanya yang seribu.