Ahad, 8 November 2009

MENAMBAHNILAI DUA SLOGAN.


Berkumandang dua slogan yang diharapkan impaknya lebih mengujakan;bukan sekadar retorika slogan.. Pertama, slogan yang telah menunjukkan kesannya iaitu PAS For All. Kedua ialah slogan baru kepimpinan pemuda iaitu , Orang Muda Geng Kita.. Slogan kedua ini masih baru dibuka dari plastik di bawah kepimpinan Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi.

Penulis tertarik dengan ucapan seorang pemimpin kawasan, Ustaz Ridhuan Hasyim, Ketua Pemuda PAS Kuala Nerus. Beliau menyarankan agar PAS For All perlu sampai kepada sasaran yang tepat dan betul. Maksud beliau ialah mesej PAS perlu sampai kepada ahli UMNO secara langsung.

Memang selama ini kempen PAS For All tanpa kita sedari lebih menjurus kepada kaum bukan Melayu. Tengoklah aktiviti dan program yang dilaksanakan; banyak melibatkan kaum Cina dan India sedangkan kita terlupa bahawa kita perlu memenangi lebih banyak hati pengundi Melayu jika kita ingin menyingkirkan UMNO dari persada takhta politik tanah air. Mutakhir ini kita melihat hayunan pengundi Melayu ke arah kita agak lembab dan bertahan, malah ada sedikit penurunan kesan dari manipulasi strategik yang dimainkan oleh UMNO dalam beberapa isu agama dan sosial. Mana mungkin kita mendominasi kerusi di negeri seperti Perak, Selangor dan Pahang sekiranya kita masih gagal memikat kefahaman dan sokongan para pengundi Melayu.

Menyedari hakikat ini, PAS perlu segera merancakkan aktiviti, program dan kempen di kalangan sasaran kita yang terdiri daripada pengundi atas pagar, penyokong dan ahli UMNO. Biasanya, ceramah-ceramah PAS ditumpukan di bandar yang boleh meraih kehadiran audiens yang ramai bagi meraikan pemimpin-pemimpin besar. Andaian kita ialah hadirinlah yang akan memanjangkan isi-isi ceramah apabila mereka pulang ke kampung masing-masing. Sejauh manakah mereka melakukan tugas ini dan sejauh manakah hujah-hujah dan maklumat mereka diyakini? Ini perlu kita fikirkan.

Apa kata kita memulakan modus operandi baru iaitu PAS mengadakan ceramah oleh pemimpin-pemimpin besar di kampung-kampung pedalaman. Biar orang bandar pula berduyun-duyun ke kampung; memeriahkan suasana kampung dan menaikkan semangat ahli-ahli PAS di sana. Selama ini orang kampung penyokong tegar PAS yang berpendapatan tidak seberapa yang berduyun-duyun ke bandar. Berilah peluang kepada orang-orang kampung pedalaman yang kebanyakannya masih kurang maklumat dari PAS mendapat informasi kelas pertama secara terus melalui corong-corong mikrofon yang menerjah telinga-telinga mereka sama ada mereka ada di padang ceramah ataupun sembunyi-sembunyi memasang telinga di rumah mereka masing-masing. Bukan sahaja ceramah, program lain seperti sukaneka wajar diusahakan secara tersusun dan berdaya penarik.

Manakala ‘Orang Muda Geng Kita’ perlu dipadatkan dengan aktiviti dan program yang melibatkan para pemuda dari semua latarbelakang. Laksanakan kempen peringkat nasional dan tempatan secara berkala; bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Kita ingin melihat anak-anak muda yang terdiri daripada anak orang-orang PAS dan UMNO berebut-rebut untuk menyertai program motivasi, rehlah, usrah, konvoi dan sukan yang dianjurkan. Permudahkan mereka untuk mereka menyertai kita. Biarlah mereka berasa selesa dan dihargai serta mendapat tarbiyah yang terbaik dari kita. Semakin kerap kita mengadakan program, semakin erat mereka dengan kita. Jarak masa yang jauh antara sesuatu program memberi peluang kepada hakisan semangat dan minat. Sama-sama kita menunggu pelaksanaan yang lebih menarik dan hebat sehingga kita mendapat pulangan yang luar biasa dari jiwa dan tenaga pemuda.


BayangDiAir,
Kemaman, Terengganu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan