Selasa, 8 Disember 2009

Afghanistan: Inikah bumi ‘pemuda Syuaib’ pembantu Mahdi akhir zaman?


Presiden AS, Obama mengerah 34000 lagi askar AS ke Afghanistan. Sebelum Bush dan selepas Bush, bumi Afghanistan yang jauh dari AS, tidak kena mengena dengan AS terus menjadi pertaruhan politik presidennya. Misi ketenteraan AS di Afghanistan nampaknya tidak mudah. Soviet Union pernah kecundang di bumi yang sentiasa berperang ini. Kalau ia tidak bergolak sepanas Palestin pun, setidak-tidaknya ia terus menjadi target musuh Islam.


Saya cuba-cuba mengingat pengajian hadis akhir zaman atau Hadis al-Fitan yang berkait dengan bumi Afghanistan, 14-15 tahun lepas oleh seorang pakar hadis dari Iraq, arwah Dr Walid al-Aaani, pensyarah di Universiti Yarmouk, Jordan sebelum meninggal akhir 90an.
Dalam satu kupasannya tentang Imam Mahdi, beliau menyebut tentang kemunculan ‘pemuda Syuaib’. Bumi tempat lahirnya pemuda Syuaib ini adalah bumi yang sentiasa panas dengan perang. Bukan seperti pertunjukan maritim LIMA di Langkawi, tetapi ia adalah bumi yang menjadi medan sebenar peperangan.


Bentuk mukabuminya juga dikatakan bergunung-ganang. Orangnya hebat-hebat dan teguh pendirian. Ada beberapa ciri lagi yang disebutkan, saya lupa. Arwah membuat andaian bahawa bumi itu adalah bumi Afghanistan. Bentuk mukabuminya yang bergunung-ganang, ketabahan rakyatnya yang menghadapi peperangan, kecekalan yang tidak mudah menghadapi tentera AS dan sekutu yang celaka, operasi ketenteraan yang tidak surut seakan-akan mengiakan pandangan Dr. Walid al-Aaani itu. (Kalau ada pakar-pakar hadis yang boleh membantu, silakan.)


Ketika pergolakan dan perjuangan mujahidin di bumi Afghanistan di tahun 1980an, saya masih teringat ceramah Tok Guru Haji Hadi ketika itu yang memetik kata-kata Sheikh Amir Syakib Arsalan tentang denyut nadi bumi Islam yang belum mati iaitu Afghanistan.


Jika benar semua telahan ini, bermakna bumi Afghanistan tidak akan berhenti dengan siri-siri peperangan. Apatah lagi, peperangan yang banyak menjadi salah satu tanda akhir zaman. Ada yang secara sinis berkata, kalau asyik dengan berperang, tak jadi kerja lainlah. Kita semua tidak mahukan perang. Ia bukan suatu yang menyeronokkan. Tetapi peperangan memang berlaku, di antara Islam dan jahiliah, iman dan kufur, hak dan batil, benar dan salah. Setidak-tidaknya perang itu berlaku di dalam hati kita di antara ‘parti syaitan’ dan ‘parti Malaikat’. Mahu nafikan?
Nazri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan