CHUKAI - “Pulanglah Bun, kami sekeluarga merindui kamu. Ayah akan ikut kehendak Bun belajar dalam kursus pembuatan perabot. Kalau Bun sudah tidak minat belajar tahfiz, ayah terima,” kata penjaga Ahmaed Bunyamin Muhammad Shariff, 17, yang menghilangkan diri dan tidak pulang ke rumah sejak Februari lalu.
Muhd Zakri Mustafa, 53, berkata, anak tirinya itu yang lebih mesra dipanggil Bun dalam kalangan keluarga dan rakan mula tidak pulang ke rumah selepas kali terakhir dilihat membawa bersama dua beg pakaian keluar dari rumah pada 8 Februari lalu.
“Kami sekeluarga terutama ibunya amat risau akan dirinya. Bagaimanapun kami yakin dia masih lagi berada di Paka, Dungun atau di Kemaman,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, sejak berkahwin dengan ibu Bun pada 1997, tanggungjawab menjaga Bun digalas bersama isterinya dan demi melihat anak menjadi insan berguna, Bun dihantar untuk belajar tahfiz al-Quran di Kubang Bujuk, Jalan Kuala Berang pada 2009.
“Tetapi ketika belajar di situ, timbul sedikit masalah berpunca daripadanya yang membawa masuk telefon bimbit ke dalam asrama dan kemudian saya hantar dia belajar tahfiz di Paka, Dungun pula tetapi masalah lain pula timbul. Kemudian saya tukarkan dia ke Sekolah Tahfiz Darul Ulung Bukit Takal, Mak Chili, Kemaman pula.
“Bun budak baik cuma dia cepat terpengaruh dengan pujukan rakan. Malah kali terakhir sebelum dia menghilang, dia membantu saya menjaga kedai. Sewaktu saya pulang semula selepas keluar membeli makanan, saya lihat muka Bun berubah,” katanya.
Menurut Muhd Zakri, dia mengesyaki ada rakan Bun datang ke kedai dan memujuknya melakukan perkara negatif.
“Sebelum ini pada Disember tahun lalu, Bun pernah tidak pulang ke rumah selama dua hari namun ketika keluar mencarinya saya berjaya menemuinya di Kuala Kemaman,” katanya.
Sehubungan itu, Muhd Zakri meminta mana-mana pihak yang mengenali dan pernah terlihat Bun di mana-mana sahaja segera menghubunginya menerusi talian 019-9363850.
“Kepada Bun, ayah merayu agar pulang semula ke pangkuan keluarga. Ayah mahu Bun lakukan perkara baik.
“Ayah mahu lihat Bun berjaya dan tidak perlu menjaga kedai lagi,” kata Muhd Zakri penuh mengharap
Tiada ulasan:
Catat Ulasan