DUNGUN – Apa sudah jadi dengan orang kita?, Kesucian surau tempat kita menyembah Allah SWT sepatutnya dipelihara, namun apa yang dikesali, ia bukan sahaja dipenuhi najis haiwan yang amat meloyakan, sebaliknya lebih biadab lagi, lokasi untuk orang ramai menunaikan solat itu turut dijadikan lokasi untuk meneguk arak.
Rahsia memalukan ini terbongkar hasil maklumat pengunjung di Pasar Dungun yang nyata terkejut apabila mendapati surau yang disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk kemudahan orang ramai menunaikan solat, dalam keadaan amat menjijikkan.
Berikutan aduan terbabit, wartawan Sinar Harian turun padang membuat tinjauan ke lokasi berkenaan bagi menyiasat kesahihan maklumat disalurkan.
Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Peniaga Kecil Pasar Dungun, Nordin Daud, 51, amat kesal dengan masalah yang berlaku.
Menurutnya, masalah ini sudah bertahun berlarutan, namun sehingga kini belum ada pihak tampil mencari jalan penyelesaian.
Katanya, tindakan kaki botol yang sanggup menjadikan surau terbabit sebagai port untuk melepaskan nafsu amat memalukan bagi orang Islam.
Nordin berkata, masalah itu mungkin tidak berlarutan sehingga hari ini jika ada pihak prihatin dengan keadaan persekitaran, selain turut mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan perbuatan tidak bermoral itu.
“Masalah tiada tempat untuk bersolat juga satu persoalan, namun apa yang lebih penting adalah terdapat individu yang tergamak melakukan perbuatan terkutuk itu di tempat yang sepatutnya dipelihara kesuciannya kerana ia tempat kita menghadap Tuhan.
“Dalam soal ini, pihak Majlis Perbandaran Dungun (MPD) kena tegas, jangan terus biarkan tempat ini menjadi port untuk perbuatan biadab, buat sesuatu untuk membersihkannya, jika perlu, MPD boleh panggil peniaga di sini untuk buat gotong-royong,” katanya.
Menurutnya, jika perkara lain membabitkan kesalahan kecil yang dilakukan peniaga, MPD memberi perhatian serius, me-ngapa perkara yang dianggap menjatuhkan martabat Islam ini boleh terlepas pandang.
Katanya lagi, sebagai sebuah daerah berstatus perbandaran, perkara seperti ini perlu diberi keutamaan kerana ia boleh menjejaskan imej bandar Dungun yang sering dianggap ikon pelancongan dan gedung ilmu melalui kewujudan sekolah agama serta institut pengajian tinggi (IPT).
“Saya tidak menyalahkan sesiapa, namun kita semua harus memikul amanah ini, dosa kita semua yang kena tanggung.
“Persoalannya, ia harus bermula dengan pihak yang bertanggungjawab, kepada pemimpin pula kena turun padang, buat tinjauan, jangan hanya pandai berpolitik sahaja,” katanya.
YDP akan siasat laporan
“SAYA tidak menerima sebarang laporan berkaitan masalah surau terbiar di Pasar Besar Dungun daripada pegawai bawahan saya, sebab itu saya tidak ambil tindakan,” kata Yang Dipertua MPD, Harun Mohamad ketika mengulas isu surau terbiar yang dipercayai dijadikan port untuk golongan kaki botol melepaskan gian ketagihan arak.
Harun berkata, selama beberapa bulan bertugas di PBT berstatus perbandaran itu, dia tidak pernah dimaklumkan mengenai masalah itu sama ada daripada pegawai berkenaan atau orang ramai.
Bagaimanapun, katanya, beliau akan melakukan siasatan selain turun padang Ahad ini untuk memastikan kesahihan laporan berkenaan.
“Saya akan siasat perkara ini dan akan ambil tindakan segera untuk mengatasinya,” katanya.
Bau busuk rimaskan peniaga
BAU busuk najis kucing yang amat meloyakan di bilik surau berkenaan juga menimbulkan rasa kurang selesa bukan sahaja kepada pengunjung, malah peniaga bersebelahan dengan lokasi terbabit.
Jizan Shafie, 49, berkata, situasi itu juga turut menjejaskan keselesaan pelanggan yang berkunjung ke kedainya.
“Bayangkan, jika pelanggan singgah untuk membeli kain, mereka akan menghidu bau tahi kucing yang amat meloyakan itu.
“Keadaan ini membuatkan mereka tidak selesa, apatah lagi peniaga yang terpaksa menghidunya setiap masa sehingga habis waktu berniaga,” katanya.
Menurutnya, berikutan surau itu tidak berfungsi, peniaga sepertinya turut menghadapi kesulitan untuk menunaikan solat.
“Bagi yang ingin menunaikan solat, mereka terpaksa mengambil wuduk dalam tandas yang letaknya agak jauh.
“Selepas itu, solat pula atas gerai sebab keadaan lantai tidak berapa bersih, jika boleh biarlah pihak berkenaan mengatasi masalah ini segera demi keselesaan semua,” katanya.
Perlu dipandang serius
SEMENTARA itu, wartawan Sinar Harian yang diiringi peniaga pasar berkenaan, Tahar Embong, 63, ke sekitar pasar sempat mendengar keluhan peniaga yang tiada kemudahan tempat bersolat.
“Jika tiada ruang solat, bagaimana peniaga dan pengunjung hendak solat?, Takkan solat atas gerai ikan?, Perkara berkaitan kemudahan solat kenalah beri perhatian sikit untuk kemudahan orang ramai,” katanya.
Tahar berkata, sebagai peniaga dan pengunjung, dia amat kesal perkara itu berlaku serta terus dibiarkan tanpa pemantauan rapi.
Menurutnya, kebersihan pasar itu hendaklah diberi perhatian secara menyeluruh, bukannya terhad kepada lokasi tertentu.
Katanya, jika perkara itu terus dibiarkan, ia boleh memberi gambaran buruk kepada semua pihak, bukan sahaja kerajaan, malah masyarakat sekeliling kerana sikap tidak ambil peduli dengan apa yang berlaku di persekitaran mereka.
Tahar berkata, bagi individu yang sanggup meneguk arak dalam surau itu pula, adakah mereka tidak berasa bersalah dan takut dengan bala yang akan diturunkan oleh Allah dengan perbuatan mereka yang sanggup membawa masuk minuman haram, selain meneguknya di tempat suci itu.
“Jika bulan puasa pula, tempat inilah dijadikan port untuk mereka menikmati juadah tengah hari.
“Golongan ini tidak berasa malu, malah tidak segan silu melakukan perbuatan terkutuk itu, justeru perkara ini harus dipandang serius kerana ia boleh meruntuhkan akhlak masyarakat,” katanya.
Minum arak di surau satu penghinaan: Ahli Parlimen Dungun
“IA penghinaan kepada Islam, perbuatan itu menjatuhkan maruah dan imej agama kita, jadi sebagai orang Islam, tanggungjawab itu kita harus pikul bersama demi memelihara kesucian rumah Allah,” kata Ahli Parlimen Dungun, Matulidi Jusoh ketika mengulas isu berkenaan.
Matulidi berkata, walaupun tempat itu hanya bertaraf surau, namun ia rumah Allah yang harus dipelihara kesuciannya selain turut menjaga keselamatan agar tidak dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Beliau yang kesal dengan apa yang berlaku menyeru individu yang melakukan perbuatan itu agar segera insaf dan kembali ke pangkal jalan untuk mengelakkan bala menimpa umat Islam lain pula kelak.
“Kita tinggal dalam sebuah negara Islam, Allah beri keberkatan kepada kita kerana umat-Nya sujud dan mengamalkan ibadat yang difardukan di rumah suci ini.
“Dalam hal ini, kita harus berganding bahu mengembalikan kesucian dan kemuliaan surau yang dijadikan tempat ibadat ini,” katanya.
Beliau juga mencadangkan pihak MPD mengkaji dan meneliti semula selain mengatasi masalah ini demi kesucian Islam serta kepentingan umatnya selain bersedia membantu untuk tujuan murni itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan