Sabtu, 30 April 2011

LYNAS OH LYNAS

 Siri ke 3 di Persimpangan lampu isyarat Gebeng


KUALA LUMPUR, 28 April: Sebelum mempertimbangkan panel ‘pakar bebas’ antarabangsa, kerajaan mestilah bersikap telus kenapa membenarkan Lynas membina dan mengendalikan kilang nadir bumi.
“Dan kenapa Lynas begitu yakin bahawa penelitian semula selama satu bulan akan mengesahkan ia selamat,” kata Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), SM Mohamed Idris
Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Pengarah Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) Raja Abdul Aziz Raja Adnan bahawa AELB akan mendapatkan pertolongan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) untuk memilih pakar bagi mengkaji keselamatan projek kilang nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan.
Pertama, katanya IAEA ditubuhkan untuk menggalakkan penggunaan tenaga nuklear dan bertindak sebagai polis untuk memeriksa sama ada sesebuah negara itu menjalankan program senjata nuklear secara terselindung.
Pada hakikatnya, kata beliau IAEA membantu negara membangun dalam rancangan mereka untuk membina loji tenaga nuklear.
“Berdasarkan mandatnya ia adalah merupakan satu khayalan untuk membayangkan bahawa IAEA berada dalam kedudukan untuk meletakkan bersama panel “pakar bebas” antarabangsa untuk menjalankan kajian yang tidak dapat dipertikaikan,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Begitu juga, tamnbahnya dengan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) yang ditubuhkan di bawah Akta Pelesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) untuk mengawal penggunaan tenaga nuklear.
Peranan AELB adalah untuk menyokong dan menggalakkan pembangunan dan penggunaan tenaga nuklear dan aktiviti berkaitan di negara ini.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang berkata, AELB telah mengeluarkan lesen kepada Lynas untuk membina dan menjalankan kilang memproses nadir bumi, menyedari sepenuhnya bahawa sisa thorium radioaktif akan dihasilkan.
Malah, ujarnya AELB akan membuka pejabat cawangannya di Gebeng.
Kedua, tambah beliau lagi kerajaan merancang untuk membina dua buah reaktor nuklear.
“Dalam hubungan ini jelas terdapat kemungkinan yang tinggi bahawa kerajaan akan menggunakan thorium sebagai bahan api untuk reaktor nuklear yang dirancang,” katanya.
Jelasnya, perlu diingat bahawa Malaysia tidak memihak kepada simpanan plutonium atau uranium berpusat antarabangsa, ini akan menjadi peluang keemasan untuk mendapatkan akses untuk kuantiti thorium yang tidak terhad di tempat sendiri untuk bahan api reaktor nuklear yang dirancang.
Ini juga, katanya lagi bermakna reaktor nuklear kemungkinan besar akan ditempatkan di kawasan Kuantan atau berdekatan di mana laporan akhbar baru-baru ini mendedahkan bahawa salah satu loji nuklear akan ditempatkan di Temerloh.
Ketiga, jelasnya thorium boleh digunakan untuk menghasilkan uranium.
Tambahnya, thorium boleh digabungkan dengan americium untuk membuat reaktor nuklear mudah alih.
Bagaimanapun, ujarnya americium dilaporkan berbahaya dan toksik sepertimana plutonium.
“Ia akan menjadi satu kesilapan besar dan boleh membunuh jika kita mengambil jalan ini untuk menghasilkan loji tenaga nuklear,” katanya.


 Siri ke 2 di Perkarangan Masjid Balok Perdana
AMR Technologies Inc, adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan di Ontario, Canada pada 11hb September 1986 dibawah nama Quesada Resources Limited. Pada 10hb Jun 1998 nama syarikat telah ditukar menjadi AMR Tecchnologies Inc.

Kegiatan utama syarikat ini adalah dalam bidang pemprosesan nadir bumi dan syarikat ini mempunyai dua kilang pemprosesan di negara China. Menurut catatan didalam dokumen maklumat syarikat bertarikh 2hb Mac 2005, dua pusat pemprosesan nadir bumi di China ialah Jiangyin Jia Hua Advanced Material Resources Co., Ltd (pegangan 90% saham) dan Zibo Jia Hua Advanced Material Resources Co., Ltd (pegangan 85% saham).

Kedua-dua pusat pemprosesan ini adalah aktif dan memberikan pulangan yang positif kepada kewangan syarikat. AMR Technologies Inc, juga mempunyai anak syarikat yang bergiat dalam bidang pembuatan barangan hasil dari nadir bumi yang telah diproses, terutamanya pembuatan barangan magnet. Kilang mereka terletak di Amerika Syarikat, Barbados, United Kingdom dan juga Thailand.

Pada tahun 2004, Lynas telah melakukan sesuatu yang selalunya tidak berani dilakukan oleh mana-mana syarikat yang menjalankan perniagaan yang berintegriti. Lynas telah membeli sebanyak 19% saham AMR Technologies Inc, tanpa pengetahuan pengarah-pengarah AMR. Lynas telah menggunakan "jalan belakang" untuk menggunakan salah satu syarikat yang menjadi pemegang saham di AMR untuk membeli saham AMR secara berterusan dan kemudiannya saham-saham itu dibeli oleh Lynas dari syarikat tersebut. Lynas telah membeli saham tersebut dari Whiterock Investment. Selepas dari pembelian saham ini, Lynas telah menjadi pemegang saham terbesar di AMR Technologies Inc,.

Akibat pengambilalihan yang tidak menepati undang-undang pengambilalihan saham di Canada dan disebabkan Lynas menggunakan cara yang tidak professional untuk melaksanakan pembelian saham-saham AMR, maka pada February 2005 pengarah-pengarah AMR telah memfailkan saman di mahkhamah untuk menyaman Lynas atas tidakan mereka. Saman ini juga untuk menghalang mana-mana individu dari Lynas dari menjadi pengarah di AMR Technologies Inc, dan mengundi sebagai pemegang saham dalam Mesyuarat Agung Tahunan. Mahkhamah Persekutuan diCanada telah bersetuju untuk kes tersebut didengar dan diperbahaskan.

Pada 7hb April 2005, AMR telah menarik balik saman keatas Lynas dan kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menyelesaikan pertikaian diluar mahkhamah. Lynas telah diarahkan untuk menjual saham milik mereka di AMR kepada Magnequench Inc, dari Indiana, Amerika Syarikat. Sejak dari tu Lynas tidak mempunyai apa-apa pegangan didalam AMR dan ini telah menyebabkan Lynas kehilangan peluang untuk memproses nadir bumi di pusat pemprosesan nadir bumi kepunyaan AMR di China.

Ini adalah sebagai jawapan kepada mereka-mereka yang bertanya kenapa Lynas tidak memproses nadir bumi di China. Lynas tidak ada nama yang baik di China dan ini telah memyebabkan mereka terpaksa mencari alternatif lain untuk dijadikan pusat pemprosesan nadir bumi. Di Australia pula pemprosesan nadir bumi memang tidak boleh dilakukan kerana nadir bumi adalah bahan beradioaktif walaupun iannya dikatakan dalam kadar yang "selamat" oleh Lynas.

Hanya kerajaan BN sanggup menerima syarikat yang sebegini untuk melabur dan melebur di Malaysia.

Dokumen berkaitan....





 Siri pertama di Perkarangan Masjid Balok Pantai


Malaysian Insider- Oleh Shannon Teoh
KUALA LUMPUR, 22 Mac — Kedua-dua kerajaan Australia dan Lynas Corporation digesa tampil menjawab banyak soalan yang masih belum dijawab berhubung loji pemprosesan nadir bumi yang sedang dibina di Gebeng dekat Kuantan, kata seorang bekas pakar geologi kanan kerajaan.
Bekas pegawai Jabatan Penyiasatan Kajibumi Malaysia (GSM) itu juga berkata, ketiadaan ketelusan bermakna sukar bagi pihak ketiga dengan kepakaran teknikal untuk menawarkan pandangan mengenai kemungkinan bahaya alam sekitar ekoran kerja-kerja pemprosesan itu.
“Ada banyak soalan tanpa jawapan,” kata Wong Yew Choong kepada The Malaysian Insider semalam.
Wong berkata beliau telah menjalankan siasatan mengenai radiasi kepada GSM, yang kini sebahagian daripada Jabatan Mineral dan Geosains lewat 1980-an bagi loji Asian Rare Earth (ARE) di Bukit Merah.
Loji itu kemudian ditutup pada 1992 ekoran protes awam.
Hampir dua dekad kemudian loji itu yang dikaitkan dengan lapan kes leukemia di kalangan penduduk tempatan masih berhadapan dengan kerja-kerja pembersihan yang menelan kos RM303 juta.
Lynas berharap untuk memulakan operasinya di Gebeng menjelang September ini, untuk bersaing dengan China yang menguasai 95 peratus pasaran nadir bumi.
Syarikat itu menjangkakan pulangan hampir RM8 bilion setahun bermula 2013.
Bagaimanapun di sebalik krisis nuklear di Jepun ekoran bencana berganda baru-baru ini, laporan New York Times mengenai operasi itu awal bulan ini menyebabkan kebimbangan dan mencetuskan polemik baru mengenai isu tersebut.
Sehubungan itu, Wong berkata, seolah-olah kelihatan sebagai “rahsia kerajaan tidak membolehkan rakyat mengetahui butiran projek yang sedang dibangunkan itu.”
“Rakyat seharusnya boleh memperoleh pandangan pihak ketiga, bukan daripada kerajaan ataupun Lynas, mengenai kesemua aspek,” kata beliau.
Lynas berulang kali menegaskan, logam nadir bumi yang akan diproses di Gebeng hanya mempunyai dua peratus elemen radioaktif, torium yang wujud dalam bahan mentah digunakan di Bukit Merah.
Bagaimanapun, Wong berkata menurut tulisan akhbar Amerika Syarikat itu loji tersebut akan memproses 10 kali ganda nadir bumi dan boleh menyebabkan jumlah sisa pembuangan radioaktif dalam jumlah yang banyak.
“Sementara saya ragu-ragu dengan respons bahawa bahan mentah hanya akan mempunyai 0.16 peratus kandungan torium, ia masih satu kadar yang besar jika mereka hendak memproses beratus tan bahan mentah,” katanya lagi.
Malah kata beliau, bahaya radiasi akan terus mengalami pertumbuhan daripada himpunan sisa buangan dan juga debu yang dilepaskan ketika pemprosesan.
Pakar alam sekitar dan penduduk di Kuantan menuntut butiran operasi loji itu daripada Lynas dan pihak berkuasa tempatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan