PILU...Khairul menunjukkan tempat anaknya, Siti Nur Hazwani mati tergilis ketika dia mengundurkan kenderaannya tengah hari semalam.
HULU TERENGGANU: “Dia merengek sambil menangis mahu mengikut saya keluar menyebabkan saya terpaksa memujuknya berkali-kali memberitahunya tidak dapat membawa dia bersama kerana mahu pergi kerja,” kata Khairul Azhar Abdullah, 46, yang terlanggar anaknya sendiri ketika mengundurkan kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Pajero di hadapan kedai makannya di sini, tengah hari semalam.
Dia yang sebak ketika ditemui di tempat kejadian berkata anaknya, Siti Nur Hazwani, 3, yang juga anak bongsu daripada lapan beradik amat rapat dan manja dengannya.
“Ketika mengundur kenderaan, tiba-tiba saya terdengar bunyi seperti terlanggar sesuatu lalu memberhentikan kenderaan. Saya terkejut apabila melihat anak kesayangan terbaring berlumuran darah di bawah Pajero,” katanya.
Menurutnya, dia langsung tidak menyedari anaknya itu berada di belakang kenderaan ketika mengundurkannya di depan kedai makan milik keluarga di Kampung Batu 21, Bukit Ara, dekat sini kira-kira jam 12.30 tengah hari, semalam.
Menurutnya, dia langsung tidak menyedari anaknya itu berada di belakang kenderaan ketika mengundurkannya di depan kedai makan milik keluarga di Kampung Batu 21, Bukit Ara, dekat sini kira-kira jam 12.30 tengah hari, semalam.
“Sebelum menggerakkan kereta, saya pasti dia sudah masuk ke dalam kedai selepas memujuknya kerana tidak dapat membawanya bersama. Saya tidak sangka dia keluar semula dan berdiri di belakang Pajero ketika saya mengundurkan kenderaan itu,” katanya.
Khairul Azhar yang sesekali mengesat air matanya berkata dia terkejut sehingga tidak dapat bergerak hampir lima minit apabila melihat tubuh anaknya terbujur di bawah kenderaan dengan kepalanya berlumuran darah.
“Saya terus menghubungi polis melalui telefon bimbit dan polis meminta saya membawanya ke hospital untuk pemeriksaan. Namun, saya sudah tahu anak saya sudah meninggal dunia dan tidak dapat menahan pilu ketika mengangkatnya ke dalam kenderaan untuk dibawa ke hospital,” katanya.
Isterinya Wan Nurul Hilayati Wan Muhammad, 33, ketika kejadian berada dalam bilik air dan tidak menyedari Siti Nur Hazwani berada bersamanya di depan kedai mereka.
“Apa yang saya ingat Siti Nur Hazwani menangis hampir sejam sebelum tidur malam tadi (kelmarin) dan tidak sangka ia petanda dia akan meninggalkan kami,” katanya yang membuat laporan kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu pada jam 5.30 petang semalam.
Mayat mangsa dibawa untuk dibedah siasat di Hospital Hulu Terengganu sebelum jenazahnya dituntut keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Gebok, Bukit Ara, di sini, selepas solat Maghrib.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan yang mengesahkan kejadian berkata pihaknya menerima laporan berkenaan.
Menurutnya, mangsa yang berusia tiga tahun meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat.
“Siasatan awal mengklasifikasikan kematian kanak-kanak berkenaan sebagai mati mengejut,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan