Isnin, 23 Mei 2011

GAMBAR PUN SUDAH MAHAL....

SHAH ALAM - Sekeping bingkai gambar Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencatat kutipan tertinggi apabila dibida RM17,000 pada Majlis Makan Malam Dana Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) Pas di Pusat Konvensyen Shah Alam, malam semalam.

Muka depan Majalah Fikrah itu memaparkan gambar Nik Aziz dengan tajuk; Terajui Perubahan Capai Keberkatan yang dicetak pada 2008, dibida seorang ahli perniagaan, Mohd Shukri Omar yang diwakili anaknya, Ahmad Azmi.

Bingkai terbabit adalah antara empat bingkai gambar yang memaparkan wajah kepimpinan tertinggi Pas termasuk Allahyarham Datuk Dr Fadzil Noor dilelong dengan jumlah semua kutipan RM27,200.

Selain itu, beberapa individu turut menghulurkan sumbangan berbentuk wang, cek dan aku janji bagi mengumpul dana untuk persiapan PRU13.

Jumlah sumbangan tertinggi diterima RM50,000 yang disumbangkan individu yang menggelar dirinya hamba Allah.

Hadir di majlis, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang turut menyampaikan bingkai gambar kepada pembida.

Hadir sama kepimpinan Pakatan Rakyat, Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak

Turut hadir, Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali; Naib Presiden; Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan