Rabu, 18 Mei 2011

SUDUT BERITA


BAGAIMANA CALON PAS TERPILIH
Senarai mereka yang layak bertanding di dalam muktamar PAS yang akan datang telah diumumkan. Cuma menunggu pengesahan daripada mereka yang tercalun sama ada terus bertanding atau menarik diri.

Tentu ramai yang akan menarik diri kerana merasa diri tidak layak, tidak mampu memberi tumpuan kepada tugas, terlalu banyak jawatan yang dipegang di pelbagai peringkat dan macam-macam lagi.


Ramai juga yang bakal mempertahankan jawatan atau mencuba nasib ke jawatan yang lebih tinggi. Tidak kurang yang tidak pernah berjawatan di peringkat pusat dan mencuba-cuba 'pasaran' mudah-mudahan terpilih.

Banyak pencalonan daripada kawasan belum tentu menyumbang kepada banyak undi. Semuanya bergantung kepada hari muktamar. Tidak ada kempen? Salah, kempen tetap ada dan sekarang pun telah ada individu yang berkempen.

Semuanya di tangan perwakilan daripada kawasan-kawasan seluruh negara. Tenggelam atau timbul adalah di tangan perwakilan daripada kawasan. Apa kriteria yang biasanya digunakan oleh perwakilan daripada kawasan (bukan semua kawasan tetapi sesetengah kawasan)?

CALON PANDAI CERAMAH: Dia suka calon yang pandai berceramah. Dia tidak kisah, calon itu bekerja atau tidak selepas terpilih, asalkan calon itu pandai berceramah dan pandai buat lawak dalam ceramah.

CALON SATU NEGERI: Dia angkat calon dari negerinya sendiri. Ada perwakilan yang mengundi calon dari negerinya kerana katanya, mudah sikit kalau nak ‘sign’ apa-apa dokumen sebab berada dalam satu negeri.

CALON LAMA: Tak payah fikir yang baru, pilih saja yang sudah sedia ada. Orang lama senang berkira, dah lama kenal dan senang untuk diajak datang berceramah ke kawasan.

CALON USTAZ: Kena lantik ustaz untuk pertahankan apa yang diistilahkan sebagai ‘kepimpinan ulama’. Kalau bukan ustaz, ‘kepimpinan ulama’ di dalam PAS terjejas.

CALON BEKAS PEGAWAI TINGGI KERAJAAN: Pegawai tinggi kerajaan ada nama, ada pengaruh dan sedap kalau diperkenalkan di dalam majlis ceramah. Tentu orang ramai akan kagum.

CALON YB: Biasanya YB ada duit. Kalau dia terpilih sebagai pemimpin tentu mudah untuknya

menjalankan tugas-tugas parti.

CALON ADA GELARAN: Gelaran Datuk atau apa-apa gelaran yang menyumbang rasa gah ketika disebut. Tentu nama yang ada gelaran sedap ditulis dan sedap disebut dan menimbulkan kebanggaan penulis atau penyebut.

Banyak lagi kriteria yang digunakan oleh perwakilan untuk memilih pemimpin dalam muktamar. Apa pun kriteria yang digunakan, calon itu hendaklah mampu memikul beban membawa PAS ke hadapan, bukan menarik PAS ke belakang.

Pemimpin itu hendaklah mampu memenuhi aspirasi rakyat terbanyak yang mahu melihat PAS mampu menggantikan Umno dalam tempoh terdekat.

Justeru, pemilihan perwakilan untuk memilih pemimpin hendaklah dikenalpasti dengan teliti. Jangan tangkap muat. Perlu ada kriteria perwakilan supaya mereka yang menjadi perwakilan mampu memilih pemimpin yang berwibawa.

Saya ulangi, bukan semua kawasan menggunakan kriteria di atas tetapi suatu masa dahulu, kawasan di negeri saya menggunakan sebahagian keriteria di atas.



Presiden PAS kekal, 6 layak tanding timbalan
Hazayani Zakaria 

KUALA LUMPUR, 17 Mei: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatan presiden PAS tanpa bertanding, manakala enam orang dicalonkan untuk bertanding timbalan presiden dan 14 lagi untuk jawatan naib presiden.

Manakala 82 orang lagi dicalonkan untuk bertanding jawatan ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Demikian dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan yang juga Pengarah jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman pada sidang media di ibu pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Bagi jawatan timbalan presiden, enam orang yang dicalonkan termasuklah penyandangnya, Nasharudin Mat Isa.

Lima lagi yang dicalonkan ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, naib-naib presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Salahuddin Ayub,ahli jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.

Keenam-enam mereka turut dicalonkan untuk bertanding jawatan naib presiden bersama lapan yang lain iaitu:

1. Idris Haji Ahmad (ketua penerangan)
2. Mahfuz Omar (naib presiden)
3. Mazlan Aliman (AJK PAS Pusat)
4. Datuk Mohd Amar Abdullah (Exco Kerajaan Kelantan)
5. Mohd Hatta Md Ramli (Bendahari PAS Pusat)
6. Mujahid Haji Yusof Rawa (AJK PAS Pusat)
7. Nik Zawawi Nik Salleh (Ketua Peneranagn Dewan Ulamak)
8. Datuk Seri Nizar Jamaluddin (AJK PAS Pusat)

Mengikut perlembagaan PAS, seseorang itu hanya memerlukan dua pencalonan sahaja untuk melayakkan diri bertanding jawatan parti termasuk jawatan tertinggi iaitu Presiden dan Timbalan Presiden.

Pertandingan bagi jawatan AJK pusat adalah untuk 18 kerusi, manakala enam lagi kerusi AJK dilantik oleh parti.

Berikut ialah 82 calon untuk AJK PAS Pusat:

1. Abdul Ghani Abdul Rahman, Ustaz
2. Abdul Ghani Shamsuddin, Ustaz
3. Abdul Halim Abdul Rahman, Dato’ Ustaz
4. Abdul Rani Osman, YB Dr. Hj
5. Abdul Wahid Endut, YB Hj
6. Abu Bakar Chik, Dato’ Ustaz ,
7. Abu Bakar Hussein, Ustaz
8. Adly Zahari,
9. Ahmad Sabki Yusof,
10. Aiman Athirah Al-Jundi
11. Amiruddin Hamzah, YB Ir.
12. Anuar Tan Abdullah, Dato’ Hj
13. Asmuni Awi, Hj
14. Azizan Abdul Razak, YB Dato’ Seri Ustaz,
15. Azman Shapawi, Ustaz
16. Halimah Ali, YB Dr.
17. Hamzah Abdullah,
18. Hamzah Jaafar, Dr.
19. Hanipa Maidin, Hj
20. Hashim Jasin, YB Ustaz
21. Hassan Ali, YB Dato’ Dr.
22. Hayati Othman, YB Dr.
23. Husam Musa, YB Dato’
24. Idris Ahmad, Ustaz
25. Iskandar Abdul Samad, YB
26. Kamarudin Jaffar, YB Dato’
27. Khairuddin Dato’ Abdul Malek, Dr.,
28. Khalid Abd Samad, YB Hj.
29. Khalil Idham Lim, YB
30. Lo’Lo Dato Ghazali, YB Dr.
31. Mahfodz Mohamed, Dato’ Dr.
32. Mahfuz Omar, YB Dato’
33. Mazlan Aliman,
34. Misbahul Munir Masduki , Ustaz
35. Mohamad Abdullah, (Sabah)
36. Mohamad Nor Mohamad, Hj.
37. Mohamad Sabu, Hj.
38. Mohd Anuar Tahir, Hj
39. Mohd Apandi Mohamed, Hj.
40. Mohd Firdaus Jaafar, YB
41. Mohd Hatta Md Ramli, YB Dr.
42. Mohd Nasir Mustafa,
43. Mohd Nasir Zakaria, YB,
44. Mohd Nizar Jamaluddin, YB Ir. Dato’ Seri
45. Mujahid Yusof Rawa, YB Dr.
46. Mumtaz bt. Mohd Nawi, YB
47. Mustafa Ali, Dato’
48. Najihatusolehah Ahmad, Dr.
49. Nasharudin Mat Isa, YB Ustaz
50. Nasuruddin Hj Daud, Dato’ Ustaz Hj
51. Nik Abduh Nik Abdul Aziz,
52. Nik Mohd Amar Abdullah, YB Dato’ Ustaz
53. Nik Zawawi Nik Salleh, Ustaz
54. Norazli Musa, Ustaz Hj.
55. Normala Sudirman,
56. Nuridah Salleh, Ustazah
57. Phahrolrazi Zawawi, YB Ir. Dato’ Hj
58. Razman Zakaria,
59. Riduan Mohd Nor, Ustaz,
60. Rosidi Hussin
61. Sa’ari Sungib, YB Hj.
62. Salahudin Ayub, YB,
63. Salleh Man, YB Ustaz
64. Sallehen Mukhyi, Ustaz
65. Shafie Abu Bakar, YB Dr.
66. Siti Mariah Mahmud, YB Dr.
67. Siti Zailah Yusoff, YB
68. Suhaizan Kaiyat,
69. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, YB Dr.
70. Taib Azamuddin Md Taib, YB Dato’
71. Takiyuddin Hassan, YB Dato’
72. Taufek Ghani, YB
73. Wan Abd Rahim Wan Abdullah, YB Dato’
74. Wan Hasrina Wan Hassan,
75. Wan Nik Wan Yusof,
76. Wan Ubaidah Wan Omar, YB
77. Yusof Embong, Ustaz Hj.
78. Zainuddin Yusof, YB Hj
79. Zaki Ibrahim, YB
80. Zuhdi Marzuki, Dr.
81. Zulkefly Muhamad Omar, Hj
82. Zulkifly Ahmad, Hj (Johor)

Manakala bagi jawatan pengerusi tetap, terdapat tiga pencalonan iaitu Abu Kassim Abdullah, Hussin Ismail dan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Bagi jawatan timbalan pengerusi tetap pula terdapat lima pencalonan iaitu:

1. Hussin Ismail
2. Ishak Surin
3. Misbahul Munir
4. Nasuruddin Daud, YB
5. Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, YB Dato’

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pada sidang media sama berkata, surat tawaran akan dihantar kepada semua calon untuk mendapatkan pengesahan mereka sama ada menerima pencalonan tersebut atau tidak.

"Jadi mustahil kalau ada yang kata mereka tak tahu layak bertanding," katanya.

Tarikh tutup untuk membuat pengesahan adalah pada 26 Mei ini.

Pencalonan bagi jawatan utama parti ditutup pada 15 Mei lalu.

Katanya, PAS mempunyai 180 kawasan di seluruh negara dan 152 daripadanya menghantar pencalonan bagi jawatan utama namun enam borang ditolak menjadikan 146 pencalonan diterima.

Seramai 1,100 perwakilan akan menghadiri muktamar tahunan parti itu bermula 3 hingga 5 Jun 2011. Semua ahli, penyokong dan masyarakat dijemput hadir.




Kereta rempuh rumah
 ROSAK...sebahagian rumah mangsa yang dihempap kereta Proton Persona.
ALOR GAJAH: “Syukur kerana kemalangan ini tidak membabitkan kehilangan nyawa. Selalunya, anak-anak duduk di beranda sebelum mengaji,” kata Sabrina Taib, 36, menceritakan kejadian sebuah kereta terbabas dan melanggar dinding rumahnya di Kampung Parit Melana, Durian Tunggal, dekat sini, petang kelmarin.
Menurutnya, kereta Proton Persona dipandu seorang lelaki itu terbalik dengan empat tayar di atas dan berlaku limpahan petrol sehingga mencetus kebimbangan berlakunya kebakaran.

“Masa itu saya duduk berehat dengan tiga anak saudara di bahagian belakang rumah pusaka itu sambil menonton televisyen kira-kira jam 3.20 petang.
“Tiba-tiba saya dengar dentuman kuat di bahagian depan rumah disusuli bunyi kaca pecah. Mulanya saya terfikir pokok tumbang atau rumah dipecah masuk.

“Disebabkan tidak sedap hati, saya membuka pintu belakang dan berjalan ke hadapan rumah sebelum ternampak sebatang dahan patah, namun tiada pokok tumbang.

“Saya terus berjalan ke depan dan tergamam melihat sebuah kereta terbalik dengan empat tayar di atas di beranda rumah. Sebaik terbau petrol saya terus berlari mendapatkan pertolongan anak saudara untuk mengeluarkan mangsa kemalangan itu,” katanya.
Menurutnya, anak saudaranya yang membantu memberitahu ada petrol melimpah keluar dari kereta berkenaan.

“Kami seperti hilang arah kerana takut sesuatu lebih buruk berlaku iaitu kereta itu meletup sebelum pemandu kereta yang cedera merangkak keluar kira-kira lima minit kemudian dan terus naik ke atas jalan kerana rumah kami berada di bawah tebing di selekoh.
“Kemudian anggota polis tiba diikuti anggota bomba menyembur cecair bagi menghalang limpahan minyak petrol itu,” katanya yang masih terkejut.

Sabrina berkata, dia bersyukur kerana tiada ahli keluarganya atau orang lain mengalami kecederaan teruk dalam kemalangan itu.

Katanya, kejadian itu kali kedua dan kemalangan pertama berlaku sekitar 1980-an apabila tayar sebuah lori tercabut serta terpelanting ke rumah berkenaan tetapi tidak membabitkan kehilangan nyawa atau kerosakan.

“Setengah jam sebelum kejadian, suami ada bersama pesakit di sebuah bilik di tepi beranda yang rosak teruk. Kebetulan dia (suami) yang juga pengamal perubatan tradisional pergi merawat pesakit di Tampin, Negeri Sembilan.

“Saya anggarkan kerosakan dialami kira-kira RM20,000,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah mengesahkan menerima laporan kemalangan itu ketika dihubungi petang semalam.

Menurutnya, hasil siasatan awal pihaknya tidak menolak kemungkinan kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu terbabit gagal mengawal kenderaannya akibat dipandu laju sebelum terbabas dan melanggar rumah terbabit.

Katanya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu cuai dan berbahaya hingga menyebabkan kemalangan serta Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas, Akta Pengangkutan Jalan 166/59.



 HEMPAP...kereta Proton Persona terbabas dan merempuh rumah mangsa.




Jatuh tingkat 16 elak kena cekup
KUALA LUMPUR: Tindakan bekas pegawai polis yang cuba meloloskan diri dengan memanjat tingkap bilik dihuninya di tingkat 16, hotel di Jalan Raja Muda Aziz, di sini, bagi mengelak dicekup pegawai pencegah maksiat, membawa padah apabila dia maut selepas terjatuh, awal pagi semalam.
Mangsa yang berusia 62 tahun dikatakan terkejut apabila pintu biliknya diketuk sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk melakukan pemeriksaan dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu.
Bimbang ditahan, lelaki itu bertindak membuka tingkap bilik didiaminya dan keluar melalui tingkap bilik itu sebelum ditemui mati di lantai balkoni tingkat lima hotel berkenaan dengan kesan kecederaan parah di kepala.

Ketika kejadian, mangsa yang sudah berhenti daripada perkhidmatan polis pada 1992 dikatakan bersama wanita berusia lingkungan 40-an dalam bilik berkenaan.
Difahamkan, sepasukan pegawai penguat kuasa Jawi yang melakukan pemeriksaan cegah maksiat mengetuk pintu bilik mangsa sebelum dibuka wanita yang dipercayai menginap di bilik berkenaan bersama lelaki terbabit.
Sejurus pintu dibuka, pegawai penguat kuasa meluru ke dalam bilik sebelum mendapati tingkap bilik berkenaan terbuka dan apabila pemeriksaan dilakukan, pegawai terbabit ternampak mangsa terbaring di lantai balkoni tingkat lima hotel.


  Rintihan, hembusan dari lokap Mona
NGERI...lokap dan kawasan lokap di IPD Raub yang menempatkan Mona dan suaminya.

RAUB: Suara rintihan pada lewat tengah malam, hembusan nafas di tengkuk yang meremangkan bulu roma dan perasaan seperti diperhatikan seseorang, antara pengalaman seram ditempuhi anggota polis bertugas di lokap yang pernah menempatkan Mona Fandey bersama suaminya, Mohd Affandi Abdul Rahman dan pembantu mereka, Juraimi Hussin, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub.
Suasana menyeramkan itu berlaku selepas ketiga-tiga mereka menjalani hukuman gantung hingga mati pada 2 November 2001 selepas didapati bersalah membunuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Talam, Datuk Mazlan Idris pada 13 Julai 1993.
Selepas hampir 10 tahun kejadian menyeramkan itu ‘disimpan’ anggota balai berkenaan, baru sekarang ia didedahkan kepada umum dan orang ramai boleh menempuh sendiri pengalaman aneh itu apabila lokap berkenaan bakal dijadikan destinasi pelancongan dalam ‘Pakej Lawatan Berhantu’ yang dipromosikan Tourism Malaysia Pahang.

Pengarah Tourism Malaysia Pahang, Amran Abdul Rahman berkata, cadangan memasukkan lokap berkenaan dalam Pakej Lawatan Berhantu disuarakan sendiri polis pada mesyuarat bersama agensi kerajaan di Raub baru-baru ini, sebagai satu lagi tarikan ke daerah berkenaan, selain keindahan semula jadi dan bangunan zaman kolonial yang masih terpelihara.

Menurutnya, lawatan berhantu terlebih dulu popular di luar negara sebelum fenomena itu menular ke Malaysia lebih lima tahun lalu sehingga banyak pengamal paranormal menawarkan aktiviti sedemikian.



 PENGHUNI DI FLAT SINGAPURA MINUM AIR MAYAT









Singapura - Penduduk di beberapa buah flat di Woodlands tidak menyedari bahawa mereka menggunakan air termasuk untuk memasak adalah daripada sebuah tangki air yang mengandungi mayat reput seorang pembantu rumah warga Indonesia yang mati, lapor akhbar Straits Times semalam.

Mereka hanya mengetahui tangki air itu mengandungi mayat wanita tersebut selepas membuat aduan kerana air paip kelihatan berwarna kekuningan dan agak berbuih.

Empat penduduk flat itu di Blok 686B, Woodlands Drive 73, menghubungi Majlis Perbandaran Sembawang untuk membuat aduan tersebut.

Seorang jurucakap polis memberitahu agensi berita Associated French Press, seorang lelaki warga Bangladesh berusia 27 tahun telah ditangkap berhubung kematian pembantu rumah tersebut yang berusia 30 tahun.

Mayat wanita itu ditemui di dalam salah satu daripada lapan tangki air di atas bumbung flat setinggi 15 tingkat itu kelmarin selepas polis menerima panggilan daripada seorang pemberi maklumat dipercayai rakan lelaki Bangladesh tersebut.

"Kejadian ini amat menjijikkan. Semua keluarga saya memakan habis seperiuk sup kacang hijau yang dimasak pada pagi ini,"
 kata seorang penduduk flat tersebut, Choi Ah Moi.

Seorang suri rumah berusia 33 tahun, Ally Lee pula berkata, pembantu rumahnya memasak mi sup untuk anak perempuannya dengan menggunakan air mayat tersebut. "Saya fikir saya mahu membawa anak perempuan saya berjumpa dengan doktor," katanya.

Pembantu rumah itu bekerja di sebuah flat di tingkat enam dan semasa ditemui mayatnya tersebut didapati mengalami luka di belakang badan selain memakai baju-T dan seluar bermuda.

Pengurus Besar Majlis Perbandaran Sembawang, Soon Min Sin berkata, semua air di lapan tangki itu dibuang dan dibasuh dengan menggunakan bahan pembersih kuman.
- Agensi

MAYAT DITEMUI DALAM TANGKI AIR
Ramai masih kurang selesa guna air untuk minum

BEKALAN air yang terputus sudah dipulihkan, namun sebilangan penduduk Blok 686B Woodlands Drive 73 masih kurang selesa menggunakan air tersebut untuk diminum atau memasak menyusuli penemuan mayat dalam tangki air di blok berkenaan kelmarin.

Malah, ada juga yang berharap pihak berkuasa dapat melanjutkan bekalan air sementara sehingga hujung minggu ini.

Tinjauan Berita Harian ke blok itu semalam mendapati bahawa beberapa penduduk lebih selesa mengambil air daripada saluran paip sementara yang dipasang Majlis Bandaran Sembawang dengan bantuan agensi air negara, PUB.

Saluran air sementara itu menggunakan bekalan daripada sebuah pili bomba berdekatan.

Seorang penduduk, Encik Muhamad Fazalee Ebudaen, 41 tahun, berkata beliau dimaklumkan pihak majlis bandaran mengenai pemulihan bekalan air namun masih kurang selesa menggunakan air tersebut.

'Kami diberitahu menerusi notis pemberitahuan yang dikirimkan pada sebelah pagi agar membuka paip air selama lima minit sebelum menggunakannya.

'Namun saya masih kurang selesa menggunakan air ini untuk memasak atau meminumnya. Oleh itu saya pergi ke bawah untuk mendapatkan bekalan air,' kata ayah dua anak itu.

Bekalan air di blok tersebut dihentikan kelmarin selepas mayat seorang pembantu rumah warga Indonesia ditemui dalam tangki air yang terletak di bumbung blok itu.

Wanita tersebut dipercayai bekerja dengan sebuah keluarga di tingkat enam blok berkenaan.

Namun, wartawan yang mengunjungi unit flat itu petang semalam mendapati pagar dan pintu unit tersebut berkunci dan penghuninya tiada di rumah.

Menurut jiran-jiran, mereka tidak kenal mangsa tersebut.

Ketika dihubungi semalam, polis mendedahkan bahawa mangsa yang berusia 30 tahun itu dikenali hanya dengan nama Ruliyawati.

'Pihak kedutaan telah dimaklumkan mengenai kematian tersebut,' kata jurucakap polis.

Polis menambah, seorang lelaki warga Bangladesh, yang dipercayai pekerja penyenggaraan di kejiranan itu, telah diberkas dan akan dihadapkan ke mahkamah hari ini kerana disyaki terlibat dalam kejadian tersebut.

Ekoran penemuan mayat di dalam tangki itu, penduduk turut berharap agar bekalan air sementara dapat dilanjutkan hingga hujung minggu ini.

Bagi Encik See Kim Poh, 60 tahun, beliau masih berasa geli untuk menggunakan air di bloknya buat beberapa hari ini.

'Loya tekak saya nak gunakan air ini setelah fikirkan berapa lama mayat itu berada dalam tangki air itu.

'Saya harap pihak berkuasa dapat lanjutkan bekalan air sementara itu beberapa hari lagi sehingga kami rasa selesa gunakan air daripada tangki blok,'
 katanya sambil mengisi air ke dalam baldi di kolong blok tersebut.

Kejadian itu juga membuka peluang kepada seorang usahawan menawarkan khidmatnya.

Seorang jurutera, Encik Mark Wong, misalnya telah mengedarkan warkah kepada penduduk menawarkan khidmat ujian air secara percuma.

Ketika dihubungi, beliau berkata pihaknya berupaya melakukan ujian untuk memastikan air itu selamat diminum. 
-BHS



‘Andainya aku pergi dulu...’
KEMAMAN: Lagu `Andainya Aku Pergi Dulu’ iaitu lagu popular Kumpulan Alleycats yang didendangkan seorang guru pada majlis sambutan Hari Guru di sekolahnya, bagai menjadi petanda dia akan pergi buat selama-lamanya apabila lemas ketika mandi di kawasan perkelahan Pantai Penunjuk, Kijal, di sini, semalam.
Mohd Anuar Harun, 28, dan rakannya, Md Iskandar Aris, 26, kedua-duanya guru Sekolah Kebangsaan Kijal, di sini, meninggal dunia pada jam 10.45 pagi meskipun mereka berjaya dibawa ke darat oleh dua penyelam yang secara kebetulan berada berhampiran tempat kejadian.

Rakan mangsa, Marina Mohamad, 29, yang turut mengajar di sekolah berkenaan berkata, dia tidak menyangka tindakan Anuar yang sebelum itu menyanyikan lagu itu menjadi petanda pemergiannya.
“Dia secara spontan naik ke pentas menyanyikan lagu itu ketika sambutan Hari Guru di sekolah kami.

“Ketika itu memang tidak nampak apa-apa perubahan pada dirinya kerana dia seorang yang periang,” katanya ketika ditemui di Hospital Kemaman, semalam.

Menurutnya, Anuar yang mengajar Bahasa Melayu serta Pendidikan Jasmani dan Kesihatan seorang guru yang bertanggung jawab, berdedikasi dan peramah menyebabkan arwah amat disenangi rakan.
“Sikap Cikgu Iskandar juga berbeza dengan dia hanya duduk di kerusi berseorangan dan tidak ceria sebagaimana biasa ketika kami bergembira merayakan Hari Guru.

“Kebiasaannya dia sentiasa tersenyum dan sering mengusik rakan dan kehilangan mereka berdua amat dirasai semua warga sekolah kami,” katanya.
Jenazah Mohd Anuar dari Marang, Terengganu dan Md Iskandar dari Muar, Johor, dituntut keluarga masing-masing di Hospital Kemaman kira-kira jam 2.30 petang untuk dikebumikan di kampung halaman mereka, petang semalam.

Md Iskandar mengajar mata pelajaran Agama Islam dan J-Qaf di sekolah berkenaan.

Difahamkan ketika kejadian, dua penyelam yang menjalani latihan skuba ternampak tangan kedua-dua mangsa terkapai-kapai sebelum segera menyelamatkan mangsa.

Bagaimanapun, ketika diselamatkan, kedua-dua guru itu sudah tidak bernyawa sebelum dibawa ke darat dan beberapa orang awam yang berada di tempat kejadian turut membantu.

Saksi kejadian, Mohd Azlizan Othman, 23, yang berkelah bersama keluarga kira-kira 300 meter dari tempat mangsa lemas berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh seorang lelaki yang melalui kawasannya berkelah.

“Saya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati kedua-dua penyelam berkenaan sedang berusaha menarik mangsa ke pantai.

“Saya bersama orang awam membantu mengangkat seorang daripada mangsa ke pantai sebelum saya terjun semula ke laut bagi membantu mengangkat seorang lagi mangsa,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian bergegas ke Klinik Kesihatan Kijal untuk meminta bantuan sebelum kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Kemaman dengan ambulans.

Menurut Azlizan, ketika kedua-dua mangsa dinaikkan ke pantai, mereka didapati sudah tidak bernyawa sebelum ibunya membantu menutup mayat kedua-dua mangsa dengan kain pelekat.

Sementara itu, tinjauan di rumah Anuar di Kampung Baru Sungai Kerak, Marang, mendapati suasana sedih menyelubungi kediaman anak bongsu daripada enam beradik itu selain ramai rakan dan jiran mangsa berkumpul di situ.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Marang pada jam 6.30 petang semalam.


 Mangsa kaku ketika dinaikkan 
KEMAMAN – “Sejurus kedua-dua mangsa dinaikkan ke darat, tiba-tiba keadaan pantai yang pada mulanya berombak kuat kembali linang (air kembali tenang),” kata Mohd Azlizan Othman, 23, saksi kejadian yang turut membantu mengusung dua guru yang lemas ketika sedang mandi berhampiran kawasan berbatu di Pantai Penunjuk, Kijal, di sini, pagi semalam.

Menceritakan detik cemas mengetahui kejadian lemas tidak jauh dari lokasi dia sekeluarga berkelah, menurut peniaga muda ini, walaupun jarak antara lokasi dia bersama lima lagi ahli keluarganya mendirikan khemah hanya kira-kira 300 meter, tetapi mereka sekeluarga tidak menyedari kejadian itu.

Menurutnya, mereka sekeluarga hanya sedar berlaku kes lemas apabila seorang pekerja kontrak yang mengutip sampah di sekitar pantai ini, datang memberitahu dua guru yang sedang mandi di kawasan berbatu besar di hadapan khemah mereka tiba-tiba lemas.

“Kemudian segera berlari menuju lokasi kejadian dan ketika itu saya lihat dua penyelam cuba menyelamatkan kedua-dua mangsa sebelum mereka dibawa ke pesisir pantai, dan saya terus terjun ke pantai untuk membantu menarik serta mengusung mangsa kerana penyelam ketika itu sudah kelihatan lemah dan tidak bermaya.

“Selepas seorang mangsa dinaikkan, saya kembali terjun untuk mengusung seorang lagi mangsa. Ketika itu ada beberapa lagi orang awam di kawasan pantai dan mereka turut sama membantu mengusung mangsa,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, ketika kedua-dua mangsa yang juga guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Kijal, Mohd Anuar Harun, 28, berasal dari Marang dan Md Iskandar Aris, 26, dari Muar, Johor dinaikkan ke darat, badan kedua-duanya telah kaku.

Mohd Azlizan berkata, sejurus kemudian dia segera menunggang motosikal ke Klinik Kesihatan Kijal untuk memanggil ambulans sebelum kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kemaman.



Mohd Anuar dan Md Iskandar tiba di pantai seawal jam 7 pagi



“Kami sekeluarga telah berkelah di kawasan ini sejak semalam (Isnin) dan sejak kira-kira jam 12 tengah malam tadi (semalam) ombak besar dan gelombang kuat.

“Sehingga pagi tadi (semalam) ombak masih besar dan kira-kira jam 7 pagi, kami sekeluarga sempat memasang pukat tidak jauh dari kawasan berbatu, ketika itu kami menyedari kehadiran dua lelaki tersebut. Selepas itu kami juga lihat dua penyelam datang menyelam di kawasan sama,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, beberapa jam kemudian mereka dikejutkan dengan kejadian lemas itu dan sebelum ini kedua-dua mangsa dilihat berdiri atas batu besar.

“Melihat mereka memanjat batu kami ingatkan juga mereka mahu memancing. Apa yang mengejutkan ialah keadaan ombak yang secara tiba-tiba reda selepas mangsa dinaikkan. Ini semua kuasa Allah SWT,” katanya yang kelihatan masih terkejut dan mengakui kejadian itu adalah pengalaman pertamanya membantu mangsa lemas.



Tutup mayat dengan kain pelekat



Dalam pada itu, ibu Mohd Azlizan, Mek Teh Mat Dahan, 53, berkata, ketika mayat kedua-dua guru muda SK Kijal itu dinaikkan ke darat, orang awam yang berada di tempat itu cuba membantu menyelamatkan dengan menekan dada kedua-dua mangsa untuk mengeluarkan air.

Bagaimanapun, usaha itu tidak berhasil dan badan kedua-dua mangsa sudah tidak bergerak, lantas jenazah mereka ditutup dengan baju sementara menunggu ambulans tiba.

“Saya kemudian mengambil kain pelekat dari dalam khemah menutup jenazah kedua-duanya.

“Sebelum kejadian kira-kira jam 7 pagi ketika melihat kelibat mereka di pantai pada awal pagi terdetik di hati saya terlalu awal mereka datang. Namun, tidak sangka tragedi seperti ini berlaku,” katanya.

Bercerita lanjut, kata Mek Teh dari Kampung Tengah, Kijal pada Jumaat lalu mereka sekeluarga datang berkelah ke pantai itu dan melihat seekor ikan berwarna putih sebesar lengan melompat di lokasi yang meragut dua nyawa guru terbabit.

Seorang lagi anak Mek Teh, Mohd Ikhwan Zulkifli, 12, berkata, pada Jumaat lalu dia juga ternampak dua guru terbabit datang ke kawasan pantai berbatu berkenaan.

Dalam perkembangan sama, menurut penduduk sekitar, lokasi kejadian lemas itu kerap ‘memakan’ mangsa yang mana saban tahun pasti berlaku kes lemas yang meragut nyawa di kawasan itu.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian ke Hospital Kemaman mendapati, sanak saudara dan guru SK Kijal memenuhi pekarangan Unit Forensik untuk menuntut jenazah.

Difahamkan, sebelum kejadian Md Iskandar sempat bersarapan bersama adik dan adik iparnya yang datang dari Johor sebelum adiknya itu dikejutkan dengan berita kematian abangnya dalam perjalanan pulang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan