Sabtu, 7 Mei 2011

Masjid Tersalah Arah Qiblat

Oleh: al-bahanj

"Minggu lepas, saya bersolat Zohor di sebuah masjid di Kota Damansara.  Mu`azzin ketika itu sedang melaungkan azan, jadi saya pun tunggulah sehingga beliau selesai.  Dalam hati, saya tertanya-tanya kerana pelik melihat garis-garis putih yang ditampal melintangi ruang solat masjid tersebut.

Selepas solat sunnat ba`diah, saya menghampiri salah seorang ahli jemaah masjid.  Menurut beliau, rupa-rupnya arah qiblat masjid tersebut tidak menepati arah yang betul.  Jadi, garisan-garisan itu adalah tindakan pembetulan yang dilakukan oleh pihak jawatankuasa masjid untuk memberitahu ahli jemaah masjid tentang arah qiblat yang sebenar.
 Ruang solat utama masjid


Masjid tersebut adalah sebuah surau pada asalnya, tetapi telah dinaiktarafkan sebagai masjid dan diadakan solat Jumaat di dalamnya.  Masjid ini telah memberi sumbangan yang besar kepada penduduk sekitar Kota Damansara sejak awal kewujudannya.  Apabila ke Kota Damansara, masjid inilah selalu saya singgah.  Penyampaian khutbahnya sangat menyentuh rohani dan program-program keagamaan seperti ceramah, kuliah agama dan lain-lain aktiviti kemasyarakatan sangat aktif diadakan.  Sejak tahun 2002 lagi saya sudah biasa bersolat di masjid tersebut, paling kurang sebulan sekali.
Selepas masjid agak reda dengan ahli jemaah yang selesai solat sunnat ba`diah Zohor, saya ke hadapan masjid dan melihat ada sijil perakuan penyemakan arah qiblat sebagai memperakui bahawa semakan arah qiblat telah dilakukan oleh JAIS baru-baru ini.
                      
Sijil Pengesahan Arah Qiblat Oleh JAIS

Alhamdulillah, walaupun penyemakan ini dilakukan terlalu lambat, saya tetap mengucapkan tahniah buat mereka yang melakukan tugas dan amanah ini.
Mudah-mudahan dengan catitan ini, lain-lain surau dan masjid bolehlah memulakan inisiatif untuk memeriksa dan menyemak semula arah qiblat surau dan masjid masing-masing.  Bolehlah dihubungi pihak yang berotoriti dalam hal ini mengikut negeri masing-masing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan