Ahad, 8 Mei 2011

SUDUT BERITA

 Ibu maut selepas selamatkan anak   
KUALA KRAI: Seorang ibu menyelamatkan tiga anaknya dalam kebakaran rumah mereka di Taman Sri Guchil di sini, semalam, sebelum maut apabila terperangkap selepas gagal membuka jeriji pintu utama.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, Rafidah Ismail, 36, sempat mengeluarkan anaknya menerusi tingkap, namun gagal keluar kerana ruang antara besi yang dibengkokkan hanya muat untuk kanak-kanak. Selepas api dipadamkan bomba, mayat Rafidah yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Kuala Krai (HKK) ditemui rentung berhampiran pintu utama rumahnya.

Tiga anaknya, Rashidah Illiana , 7, Zaim Shahrul Zamri, 6 dan Zaim Iqbal Zamri, 2, terselamat tanpa kecederaan. Ketika kejadian, bapa mereka yang bertugas sebagai tentera tiada di rumah kerana bertugas di Kem Sri Banding, Grik, Perak.
Difahamkan, selepas menyelamatkan anaknya, Rafidah cuba keluar menerusi pintu utama, tetapi ketika membuka jeriji pintu berkenaan kunci tiba-tiba terjatuh, menyebabkan mangsa panik dan lemas akibat asap tebal.

Ketua Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Azhar Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.53 tengah hari bergegas ke tempat kejadian bersama satu jentera dan enam anggota.

 SEDIH... Suami mangsa, Zamri Hamat mencium Rashidah sambil memeluk Zaim, semalam. Gambar kecil, rumah mangsa.
Ajal bantu murid lemas
PORT DICKSON: Seorang lelaki menyelamatkan tiga mangsa lemas di Pantai 2 Telok Kemang, di sini, kelmarin, menemui ajal sejurus memberi bantuan pemulihan pernafasan (CPR) kepada seorang mangsa.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, Zulkifly Hamzah, 43, rebah sebaik selesai memberi bantuan pernafasan kepada seorang budak lelaki berusia 10 tahun yang lemas ketika mandi di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baljeet Singh, berkata ketika kejadian, pantai berkenaan tiba-tiba dilanda air pasang menyebabkan tiga murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Telok Kemang lemas.
“Zulkifly yang kebetulan membantu ibunya berniaga di kawasan pantai mendengar tiga murid lelaki menjerit meminta tolong dan terus terjun ke laut bagi menyelamatkan mereka.

“Pengunjung lain yang menyedari kejadian itu turut berusaha menyelamatkan dua lagi mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, sejurus memberi CPR kepada seorang daripada murid berkenaan, Zulkifly rebah dan tidak sedarkan diri di situ.
Orang ramai yang melihat kejadian bergegas membawanya dan murid yang lemas itu ke Hospital Port Dickson (HPD), namun Zulkfily meninggal dunia dalam perjalanan ke HPD.

Sementara itu, seorang saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, ketika Zulkifly memberi bantuan CPR, murid lelaki itu masih tidak sedarkan diri.
“Ketika itulah dia (Zulkifly) memberitahu kami, budak itu sudah tiada, namun selang beberapa lama kemudian ketika dia memberi CPR sekali lagi, budak lelaki itu terjaga dan Zulkifly pula rebah tidak sedarkan diri,” katanya.

Ibu Zulkifli, Nyapon Jantan, 63, berkata, anaknya itu berulang kali memberitahu bahawa dia akan pergi jauh.

“Namun, ketika itu saya tidak perasan sebarang perubahan dia kerana beranggapan dia mahu pergi jauh untuk bekerja. “Saya reda menerima berita kematiannya, namun saya tidak menyangka ia berlaku terlalu cepat sekali,” katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian dia sempat membancuh segelas air teh dan minum petang bersama arwah.

“Dalam perbualan itu, arwah berkata dia akan pergi jauh untuk mencari kerja kerana Aildifitri bakal menjelma tidak lama lagi.

“Kemudian, anak saya dengar tiga budak lelaki terkapai-kapai menjerit meminta tolong di tengah laut lalu terus berlari ke pantai memberi bantuan kepada mereka.

Sepupu Zulkifly, Badiozaman Abu, 43, yang turut sama memberi bantuan kepada tiga budak lelaki itu melihat Zulkifly jatuh pengsan selepas itu.

“Saya terus mengangkat dan membawanya ke kereta untuk mendapat rawatan di HPD. Ketika diberitahu dia sudah meninggal dunia, lemah seluruh anggota badan,” katanya.

Zulkifly meninggalkan seorang isteri, Norhayati Ahmad, 39, dan juga tiga anak, Ilyasa Zulkifli, 14, Idham Syah, 9, dan Izuwan Shah, 8.

Sementara itu, tiga murid sekolah itu selamat dan seorang daripada mereka kini mendapat rawatan di HPD.



Mayat bergerak
KANGAR: Menggemparkan apabila ‘mayat’ seorang warga emas yang dikatakan meninggal dunia di sebuah rumah di Pangsapuri Seri Sena, sejak dua hari lalu, tiba-tiba bergerak sebelum dikejarkan ke hospital bagi menerima rawatan, kelmarin.
Khaw Sui Liong, 54, ditemui oleh dua rakannya dalam keadaan kaku dan tertiarap seolah-olah tidak bernyawa di atas tilam sebuah bilik di sebuah rumah di tingkat enam Blok B pangsapuri berkenaan, jam 5 petang.
Terkejut dengan penemuan itu, seorang daripada mereka, Mohd Zawari Zain, 31, memaklumkan jiran bersebelahan sebelum menghubungi polis.

Ramai penghuni bergegas ke rumah berkenaan namun tidak berani memegang tubuh mangsa.

Bagaimanapun, anak saudara mangsa, Kent Khaw, 24, yang menuntut dalam bidang perubatan di sebuah kolej perubatan di Sungai Petani, membuat bantuan pernafasan (CPR) dan mendapati mangsa masih bernafas.

Mohd Zawari berkata, mangsa menetap seorang diri selepas kematian ibunya lapan bulan lalu.

“Mangsa gagal menjawab panggilan telefon sejak dua hari lalu menyebabkan kami datang ke rumahnya untuk melihat kejadian sebenar.

“Saya melihat mangsa tertiarap tidak bergerak di atas tilam, manakala udara di sekitar bilik berbau busuk seolah-olah bau mayat.

“Namun saya dan rakan tidak berani memegangnya kerana menjangka dia sudah mati,” katanya.

Menurutnya, dua anggota polis bersama sepasukan anggota perubatan dari Hospital Tuanku Fauziah (HTF) yang memasuki rumah terbabit mengesahkan mangsa masih bernyawa.

“Orang ramai terkejut apabila dimaklumkan mangsa masih bernyawa. Anak saudara mangsa membuat CPR dan mendapati Khaw masih hidup,” katanya.

Jurucakap HTF berkata, mangsa kini koma tetapi stabil dan menerima rawatan intensif.



  

Tabib Cina turun ilmu

LEDANG: “Isteri berterima kasih kepada saya selepas kami bersama,” kata Abdul Rahim Abu Bakar, 45, menceritakan khasiat memakan hidup-hidup ratu anai-anai yang didakwanya boleh merapatkan hubungan suami isteri.
Dia yang menjalankan perniagaan mengawal serangga perosak mendakwa khasiat ratu anai-anai umpama Viagra yang membolehkan pasangan bertahan lama di ranjang.
Menurutnya, dia mengetahui kehebatan memakan ratu anai-anai daripada seorang tabib Cina di bandar ini kira-kira tujuh tahun lalu sebelum mengamalkannya hingga kini.

“Seelok-eloknya ia dimakan kira-kira 15 minit sebelum bersama dan selewat-lewatnya tiga hari selepas ratu anai-anai dikeluarkan daripada busut untuk mengekalkan khasiatnya.

“Kehebatannya umpama kita berlari maraton tanpa henti. Malah tabib Cina percaya khasiat ratu anai-anai lebih hebat berbanding cicak tokek,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di rumahnya di Serom 1, di sini, baru-baru ini.

Dia berkata, ratu anai-anai hanya boleh hidup sekitar tiga hari selepas diambil daripada sarangnya.

Bagi lelaki, dakwa Abdul Rahim, memakan ratu anai-anai dapat membantu memulihkan penyakit mati pucuk dan merawat masalah tenaga batin.

Wanita yang memakannya pula dikatakan dapat menambahkan kesuburan seperti fungsi ratu anai-anai itu sendiri yang menghasilkan ribuan telur.

Selain itu, ratu anai-anai dipercayai sangat berkhasiat dalam membantu memulihkan beberapa jenis penyakit, termasuk penyakit buah pinggang, lenguh badan, cepat letih, menerangkan penglihatan dan kencing manis bagi peringkat awal.

Abdul Rahim berkata, disebabkan khasiat dan kesukaran mendapatkannya, seekor ratu anai-anai dijual antara RM1,500 hingga RM2,500 kepada orang tengah dan boleh mencecah RM5,000 di kedai.

“Harga ratu anai-anai bergantung kepada saiz dan warnanya. Yang kecil biasanya berwarna hitam pucat manakala ratu anai-anai besar berwarna kekuningan seperti ulat sagu. Lagi besar, khasiatnya lagi bagus.

“Saya pernah memperoleh RM7,000 hasil penjualan tiga ekor ratu anai-anai. Bagaimanapun, ia bukan selalu kerana memang sukar mendapatkan ratu anai-anai,” kata bapa kepada lima anak berusia enam hingga 15 tahun itu.

Menyedari harganya lumayan, Abdul Rahim menjadikan kerja mencari ratu anai-anai sebagai pendapatan sampingan selain perniagaan mengawal serangga perosak.

“Sepanjang menjalankan pekerjaan mengawal haiwan perosak seperti anai-anai, saya jarang menggunakan racun, sebaliknya memakan ratu serangga berkenaan atau menjualnya kepada pihak berminat.

“Walaupun pelik, ia berkesan, malah ratu anai-anai turut mendapat permintaan tinggi kerana khasiatnya diakui di negara Asia seperti China, Jepun dan Singapura,” katanya yang mencari busut di sekitar kampung, terutama di dusun, ladang kelapa sawit dan getah untuk mengesan ratu anai-anai.

Dia mengambil masa kira-kira 10 sehingga 20 minit untuk menemui ‘rumah’ ratu anai-anai dan kadangkala lubang pertama digalinya membawa kepada penemuan tempat terbabit.

Katanya, cara memakan ratu anai-anai sangat mudah kerana pemakan hanya perlu menanggalkan kepala makhluk perosak terbabit lalu menelannya dengan segera.

“Sebaik menemui ratu anai-anai, kita perlu tanggalkan kepalanya sebelum meminum sedikit air untuk memudahkan ia ditelan,” katanya sambil menunjukkan cara terbabit kepada wartawan Metro Ahad.

Rahim turut memberi petua iaitu ratu anai-anai perlu dimakan segera untuk mengekalkan kesegaran serta khasiatnya kerana ia hanya mampu bertahan tiga hari selepas dikeluar dari sarangnya.

Bahkan, dia mendakwa selepas memakan ratu anai-anai, ia memberi kesan yang sungguh baik serta lebih bertenaga walaupun membuat kerja berat setiap hari.

Sementara itu, usaha menemui seorang lagi pemburu ratu anai-anai yang hanya dikenali sebagai Pak Aki, 70, di Segamat menemui kegagalan kerana dia meninggal dunia baru-baru ini.

Zulkifly meninggalkan seorang isteri, Norhayati Ahmad, 39, dan juga tiga anak, Ilyasa Zulkifli, 14, Idham Syah, 9, dan Izuwan Shah, 8.

Sementara itu, tiga murid sekolah itu selamat dan seorang daripada mereka kini mendapat rawatan di HPD.

LUMAYAN... Rahim menggali busut untuk mencari ratu anai-anai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan