Ahad, 20 Mac 2011

Derita suami penagih

JOHOR BAHRU: Seorang ibu beranak tiga bukan setakat menanggung derita digantung tidak bertali oleh suaminya yang juga penagih dadah, malah hidupnya penuh dalam keadaan daif apabila hanya mampu menyewa sebuah bilik tidak ubah seperti kolong di Kampung Tarom di sini, sejak tujuh tahun lalu.

Lebih menyayat hati, mereka sekeluarga turut diancam serangan haiwan berbisa seperti ular selain berdepan risiko dipecah masuk disebabkan dinding bilik itu reput dimakan anai-anai kerana terletak di aras bawah sebuah kediaman lama berusia lebih 20 tahun.

Wan Sharifah Hanam Wan Mohd Shariff, 46, bekerja sebagai tukang cuci berkata, dia hidup umpama pelarian ketika bersama suaminya memandangkan pemilik rumah yang disewa sebelum ini di Kuantan, Pahang; Kuala Lumpur dan Terengganu bertindak menghalau mereka kerana gagal melunaskan sewa rumah.
“Saya sedih mengenangkan nasib anak gadis berusia 13 dan 17 tahun yang memerlukan bilik sendiri memandangkan ruang tamu turut menjadi tempat makan, belajar serta tidur bersama anak bujang yang kini menuntut di tingkatan dua.

“Suami pernah membawa rakan untuk menagih dadah di dalam rumah. Dia juga pernah membaling ikan beku ke muka saya kerana lewat menyediakan makanan untuk mereka,” katanya ketika ditemui, di sini.

Menurut Sharifah, suaminya bukan saja tidak memberi wang belanja, malah tergamak mencuri duit simpanannya semata-mata mahu membeli dadah. Oleh kerana tidak tahan diperlakukan sedemikian, Sharifah melarikan diri daripada suaminya tujuh tahun lalu sebelum menyewa bilik dengan bayaran RM250 sebulan itu.
Nasib keluarga berkenaan mendapati perhatian daripada Maybank yang menghulurkan bantuan untuk meringankan beban hidup seharian.

Wakil bank berkenaan, Ame Kusuma Abu Bakar berkata, beliau bertemu dengan Sharifah sekeluarga pada program ‘Cahaya Kasih Maybank’, November lalu, dan berusaha untuk mendapatkan bantuan kepada mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan