Ahad, 20 Mac 2011

Kereta kemek, cermin pecah

KUALA LUMPUR: Penghuni Flat Kondo Rakyat Desa Pantai, Bangsar, di sini, berada dalam kegelisahan berikutan perbuatan vandalisme serta masalah sosial yang dicetuskan segelintir penghuni terutama di kalangan anak muda yang dilihat semakin menjadi-jadi.

Penduduk yang ditemui memberitahu mereka tidak mampu lagi menyembunyikan perasaan marah akibat kejadian jenayah dan maksiat yang semakin meningkat.

Mereka turut mendakwa, kejadian pecah cermin dan merosakkan kenderaan penduduk angkara remaja nakal atau penagih dadah semakin berleluasa walaupun flat berkenaan terletak berhampiran Balai Polis Kerinchi.
Tinjauan Metroplus di kawasan itu pada waktu malam baru-baru ini, mendapati flat terbabit dibanjiri kenderaan penduduk yang diletakkan secara bertindih selain kenderaan berkenaan diletak di setiap penjuru dan sisi bangunan flat yang dilihat memberi peluang kepada sikap tidak bertamadun itu berlaku. Malah, beberapa kawasan di sekitar bangunan yang tidak berlampu dan terselindung dengan kenderaan yang diletakkan di tempat terbabit dipercayai berpotensi untuk dijadikan tempat pasangan bercinta memadu kasih.

Eksekutif sebuah syarikat terkemuka di ibu kota yang hanya ingin dikenali sebagai Zaza berkata, dia ada membuat laporan polis apabila kereta Proton Wira miliknya dipecahkan individu tidak bertanggungjawab di tempat parkir kenderaan Blok 3, flet berkenaan.

Dalam kejadian itu, bonet depan kenderaannya kemek manakala bucu penyerap hentakan kanan berlubang.
 “Saya difahamkan kereta saya dilanggar kenderaan lain oleh anak buah yang menghubungi saya di pejabat tetapi apabila saya lihat keadaan bonet depan kereta saya yang kemek melengkung besar ke dalam, manakala bucu penyerap hentakan belakang kereta pula berlubang, saya yakin ianya perbuatan disengajakan.

“Walaupun keadaan jalan yang sempit akibat kiri dan kanan bahu jalan terdapat kenderaan tetapi tidak mungkin bucu kereta saya yang berlubang itu dilanggar orang. Ini kerana, bucu terbabit betul-betul menghala ke dinding, oleh itu tidak mungkin ada kenderaan yang boleh melanggar kereta saya,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan