Rabu, 23 Mac 2011

Teknologi video dan kempen jatuhkan seteru


Sekali imbas, ceritanya memang panas – tetapi tidak masuk akal.

Adakah seorang yang begitu terkenal dan menghadapi pertuduhan liwat akan nekad untuk mendapatkan khidmat seorang pelacur di sebuah hotel di tengah-tengah ibu negara?

Dan, apakah kemungkinan bilik hotel itu pula mempunyai kemudahan rakaman yang begitu canggih sehingga video itu diambil daripada beberapa sudut.

Itulah yang juak-juak Umno dan blogger upahan mahukan rakyat percaya dalam fitnah terbaru terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam percubaan terbaru untuk memusnahkan kredibiliti Ketua Pembangkang berusia 63 tahun itu, seorang yang bergelar “Datuk T” hari ini menyewa kemudahan di Hotel Carcosa yang mempunyai kadar sewa paling mahal di Kuala Lumpur.

Beliau berbuat demikian kononnya untuk membolehkan wartawan menonton video itu sebelum ia dihantar kepada Anwar dan isterinya.

“Datuk T” menggambarkan dirinya sebagai ahli sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mahu menegakkan kebenaran.

Jika itu tujuannya, mengapa tidak diserahkan video itu kepada pihak berkuasa, termasuk Jabatan Agama Islam?

Mengapa tidak terus “melepaskan” video itu untuk disebarkan kepada orang ramai supaya kesahihan video ini dapat dikenal pasti secepat mungkin?

Kenapa harus tunggu seminggu?

Kenapa harus tunggu seminggu atas alasan memberi peluang kepada Anwar berundur secara terhormat?

Jelas tujuan untuk “menyembunyikan' video ini daripada khalayak ramai adalah hanya untuk mendapatkan publisiti maksimum untuk memalukan Anwar, sebelum kesahihan video diperinci oleh golongan profesional.

Bagi mereka yang mengenali selok belok politik Umno dan NGO upahan parti itu, persoalan utama ialah sebagus mana kualiti video fitnah ini. Dalam erti kata lain, apakah teknologi yang digunapakai untuk menghasilkannya.

Pada perbicaraan Anwar yang pertama tahun 1998, pihak pendakwaraya menjanjikan bukti video untuk mensabitkan perlakuan seks Anwar.

Namun akhirnya pihak pendakwaraya sendiri sedar bahawa “video” yang dimaksudkan itu direkacipta dengan kualiti yang begitu buruk dan tidak akan dapat dipertahankan di mahkamah.


Justeru, tidak ada bukti sebegitu ditampilkan, sungguhpun ia dijanjikan.

Sejak itu, teknologi video sudah jauh beranjak ke depan untuk memanfaatkan sesiapa yang bercadang membuat video membabitkan personaliti tertentu.

Kepada mereka yang arif dalam teknologi video, teknik memasang wajah orang tertentu melakukan sesuatu yang haram bukan perkara mustahil, namun ia adalah sesuatu yang boleh dibuktikan menerusi aplikasi teknologi yang ada.

Di tangan polis

Jika Datuk T “ikhlas” menyelamatkan negara, video itu sudah tentu berada di tangan polis, dan Jabatan Agama Islam serta pakar-pakar yang boleh memperakukan kesahihannya.

Sebaliknya tidak. Datuk T akan “menyimpan' video itu untuk seminggu manakala polis dan pihak berkuasa Islam pula tidak menunjukkan sebarang inisiatif untuk menyiasat dakwaan beliau.

Jelas tangan musuh-musuh politik Anwar sekali lagi terserlah dalam satu lagi percubaan untuk mengaibkan beliau dan keluarganya.

Dengan bertindak demikian, seteru-seteru politik Anwar mahu merencat kempen beliau dan Pakatan Rakyat di Sarawak menjelang pilihanraya negeri di situ.

Lawan politik Anwar juga amat mengharapkan “pendedahan” video seks itu akan memberikan nafas baru kepada tuduhan liwat terhadap beliau yang kini terjejas selepas hakim memutuskan polis memperolehi bukti sampel DNA terhadap Anwar secara tidak sah.

Amat mencurigakan apabila Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein awal-awal lagi menafikan pembabitan polis dalam video berkenaan.

“Jadi jangan ada spekulasi bahawa polis yang buat (video) ini, saya belum tengok dan mungkin tidak akan tengok,” kata beliau.

Hanya Hishamuddin tahu kenapa beliau bingkas menafikan pembabitan polis walhal belum pun ada tuduhan sebegitu dibuat. -mk

Banyak persoalan mengenai video seks

Untuk kali kedua dalam tempoh kira-kira empat tahun, negara digemparkan dengan klip video seks yang didakwa membabitkan ahli politik terkemuka.

Kali ini, video tersebut didedahkan kepada pihak media di sebuah hotel mewah di Kuala Lumpur hari ini.

Manakala majoriti wartawan yang menonton video tersebut hampir pasti identiti ahli politik yang didakwa itu, namun masih banyak persoalan mengenainya.

Siapakah 'Datuk T'?

Orang yang menganjurkan tayangan video tersebut, hanya mahu dikenali sebagai 'Datuk T' dan dia amat berhati-hati untuk mendedahkan lebih banyak lagi tentang dirinya.

Bagaimanapun, yang pasti ialah Datuk T telah dengan teliti merancang pendedahan hari ini dan telah menempah sebuah bilik berharga RM1,350 di hotel mewah Carcosa Seri Negara untuk mendedahkan video tersebut.

Dia sentiasa diiringi dua pengawal peribadi dan enggan mendedahkan apa-apa ketika ditemui, dan hanya mengulangi apa yang dinyatakan dalam kenyataan bertulis kepada media, atau mendedahkan apa kaitannya dengan ahli politik yang didakwa terbabit dalam klip video tersebut. -mk


Najib: Polis tak rakam video seks didakwa libatkan pemimpin Pakatan

KUALA LUMPUR, 21 Mac – Datuk Seri Najib Razak menegaskan pihak polis tidak terlibat dalam kes rakaman video seks – yang didakwa melibatkan seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat – melanggan khidmat seks pelacur di hotel di sini akhir bulan lalu.

Dalam mesej Twitter malam ini, ketika isu terbaru ini hangat dibahaskan dan menarik perhatian ramai, Perdana Menteri berkata beliau mahu mengesahkan apa yang diperkatakan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Bukit Aman tengah hari tadi.

“Saya suka mengesahkan apa yang Datuk Hishammuddin mengatakan bahawa polis tidak terlibat dalam rakaman video seks yang didakwa,” kata Najib sekitar pukul 9 malam tadi.

Bagaimanapun Najib tidak menyebut sama ada pihaknya sudah diberi taklimat mengenai kes itu.

Pada sidang media di ibu pejabat PKR petang tadi, Anwar menafikan sekeras-kerasnya beliau adalah individu yang didakwa dalam rakaman video seks, yang mendapatkan khidmat seks pelacur.

Beliau menegaskan penyebaran video seks tersebut adalah satu strategi Barisan Nasional (BN) untuk menjatuhkan imejnya sebagai tokoh pemimpin negara.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya, ia berniat jahat dan fitnah, saya nafikan secara keras saya adalah individu dalam video tersebut.

“Saya mengecam konspirasi terbaru untuk memfitnah dan mengaibkan saya serta keluarga, video yang ditayangkan merupakan satu taktik jahat yang dilakukan musuh politik yang berhasrat untuk membantutkan kemaraan Pakatan Rakyat,” katanya.

Hishammuddin juga meminta individu yang rasa dirinya “teraniaya” ekoran penyebaran video seks, yang dikaitkan dengan seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat, agar membuat laporan polis.

Beliau berkata tanpa laporan polis, pihaknya tidak boleh melakukan siasatan.

Menurut Hishammuddin, beliau baru hari ini dimaklumkan mengenai video seks tersebut dan tidak mempunyai butiran lanjut mengenainya.

“Sama ada dia daripada pemimpin pembangkang (Pakatan Rakyat) saya tidak tahu, sama ada ia tulen atau palsu saya juga tidak tahu, saya belum tengok dan mungkin tidak akan tengok,” katanya.

Naib Presiden Umno itu juga meminta semua pihak agar jangan membuat spekulasi bahawa polis terlibat dalam penyebaran video seks itu. -TMI

Ada seperkara yang aneh di dalam kenyataan Najib, bagaimana beliau boleh membela dan mempertahankan polis dengan menyatakan polis tidak terlibat sedangkan siasatan belum dilakukan?

Ia adalah premature untuk Najib berbuat demikian.

Jika demikian, Najib tahu seolah-olah tahu siapa sebenarnya pembikinnya atau perakamnya - atau satu konspirasi baru sama seperti kudeta Perak, tetapi ternyata tak berapa menjadi kali ini?

Apa tah lagi, Datuk T yang mempertontonkan video klip itu telah dengan teliti merancang pendedahan hari ini dan telah menempah sebuah bilik berharga RM1,350 di hotel mewah Carcosa Seri Negara untuk mendedahkan video tersebut.

Dia sentiasa diiringi dua pengawal peribadi dan enggan mendedahkan apa-apa ketika ditemui, dan hanya mengulangi apa yang dinyatakan dalam kenyataan bertulis kepada media, atau mendedahkan apa kaitannya dengan ahli politik yang didakwa terbabit dalam klip video tersebut.

Polis tidak pula menghalang sidang tontonan berkenaan sedangkan ia jelas menyalahi undang-undang.

Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998
Melarang penyebaran bahan berunsur kesat/lucah melalui kenyataan undang-undang tertentu (Seksyen 211 dan 233) dan penyelarasan industri di bawah Kod Kandungan (Content Code).
Klasifikasi Kod Kandungan
Forum Kandungan Komunikasi Multimedia Malaysia berdasarkan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998;• Kandungan lucah – perbuatan berunsurkan seks secara nyata, pornografi, pornografi kanak-kanak;
• Kandungan tidak bermoral – lucah, tidak bermoral;
• Kandungan berbentuk ancaman – propaganda menghasut, menanam kebencian, mengancam keselamatan negara, kesihatan dan keselamatan awam;
• Bahasa kesat – ucapan yang menghasut, keganasan;
• Kandungan salah/tidak tepat – salah, mengelirukan.


Cacatnya skrip sandiwara ini bilamana Najib sendiri bersuara membuat kenyataan "polis tak terlibat", yang memberi impak masyarakat merumuskan keadaan sebenar adalah disebaliknya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan