Ahad, 20 Mac 2011

Kami tak tahan!

 KOTOR...Jalaluddin menunjukkan air kumbahan dari longkang bercampur dengan Sungai Gombak.


BUSUK...Idaroyani menunjukkan longkang di belakang rumahnya yang tercemar.


GOMBAK: “Setiap pagi kami menahan bau busuk akibat sikap tidak bertanggungjawab melepaskan air kumbahan ke longkang dan sungai berhampiran,” kata Jalaluddin Jabar, 46, mengenai bau busuk di kawasan tempat tinggalnya sejak setahun lalu.
Berikutan laluan longkang terletak berhampiran rumahnya, dia anak-beranak tertekan sehingga terpaksa menutup pintu rumah setiap masa bagi mengelak bau busuk itu.

Tinjauan Metroplus mendapati air sungai berhampiran kotor dan berwarna kehitaman akibat pembuangan sisa kumbahan, malah air sungai juga berbuih akibat kotoran disalirkan ke situ.
Bukan itu saja, longkang berhampiran rumah seorang penduduk juga tercemar dengan bau kurang menyenangkan disebabkan longkang terbabit tidak bertutup.

Menurutnya, walaupun pihak terbabit melepaskan sisa kumbahan itu dua kali seminggu, namun bau menjadi semakin kuat.

“Pada mulanya saya tertanya-tanya dari mana datangnya bau busuk ini setiap kali ia menerpa sehingga menyakitkan hidung, lebih menyakitkan apabila musim hujan, bau semakin kuat.
 “Setiap hari saya cuba mencari punca sehingga terlihat longkang hitam dan ada kalanya berkepul-kepul,” katanya.

Disebabkan tiada tempat mengadu Jalal hanya melihat tingkah laku pihak terbabit yang mendakwa kontraktor dilantik pihak berkuasa berkaitan bagi mengawal sistem kumbahan berdekatan.
Penduduk, Idaroyani Tahar, 39, berkata sejak 30 tahun menetap di situ pelbagai masalah sering berlaku, namun masalah bau busuk paling mengecewakan kerana tiada pihak tampil membantu.

“Jangan disebabkan kami tinggal di kawasan perkampungan masalah ini dipandang remeh, kami juga mahukan kehidupan selesa.

“Selama ini kami berdiam diri apabila sisa kumbahan dilepaskan di kawasan sungai berhampiran, tetapi apabila ia turut mengganggu longkang kecil di kawasan rumah ia seolah-olah mencemar kehidupan kami,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan