Semalam Khamis 10 Mac 2011 menyaksikan sambutan Maulidurrasul peringkat daerah Kemaman disertai pelbagai agensi kerajaan, NGO, pelajar dan perseorangan. Menurut portal rasmi kerajaan negeri Terengganu, 23 ribu menyertainya. Jalan utama bandar Cukai banyak yang ditutup dari kenderaan. Kenderaan dari Kuala Terengganu terpaksa melencong mencari jalan lain ke Kuantan. Hebatnya Nabi SAW sehingga puluh ribu berselawat ke atasnya dan kenderaan harus menghormatinya.
Dalam buku saya, Ku Damba Cintamu Ya Rasulullah, saya menakalkan perkataan al-Qusari yang menyebutkan berselawat adalah tahap Islam cintakan Nabi SAW. Tahap itupun berbeza-beza di antara seorang dengan yang lain. Tahap Islam cintakan Nabi SAW oleh para Sahabat sangat jauh hebatnya dari perarakan dan selawat yang dibuat oleh kebanyakan umat Islam kini. Masih ada 2 tahap cintakan Nabi: tahap Iman dan Ihsan. Kita katakan bahawa menyambut maulidurrasul itu dan berselawat itu syiar yang baik. Namun Islam bukan hanya syiar. Islam mesti dihayati sepenuhnya dalam seluruh aspek kehidupan.
Dalam kalangan mereka yang berarak itu, tidak mustahil ada yang suka minum arak. Dalam kalangan yang berselawat itu, tidak mustahil ada yang suka berkhalwat. Dalam kalangan mereka yang berbaju Melayu lengkap itu, ada yang mengagungkan bangsa Melayunya mengatasi Islamnya. Dalam kalangan mereka yang memuji Nabi itu, tidak mustahil mereka jugalah yang menentang perjuangan Nabi.
Nabi memperjuangkan tegaknya Islam. Dari diri, keluarga, msyarakat dan negara. Dari aspek masuk tandas hingga masuk Parlimen. Dari wajibnya ibadah hingga haramnya rasuah. Dari halalnya bekerja sendiri hingga haramnya judi. Dari mengucapkan Assalamualaikum hingga menegakkan hukum.
Justeru, ingat-ingatlah wahai mereka yang menyambut perarakan Maulidurrasul itu, jangan sampai selawat kamu terhadap Baginda SAW memakan diri kamu sendiri, lalu Nabi SAW tidak mengaku umat pada hari Akhirat nanti akibat tidak menghayati dan menegakkan Islam sebagaimana yang pernah ditegakkan oleh orang yang diselawatkan itu.
Oleh : Ustaz Nik Nazri Nik Malek
Tiada ulasan:
Catat Ulasan