ROSAK...pagar di kolam terbabit dipotong.
TUMPUAN...orang ramai memancing di kawasan kolam tinggal berhampiran Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang.
BERLUBANG...pagar di sekeliling kolam dipotong dipercayai sebagai laluan masuk ke tepi kolam berkenaan.
Namun, lebih menarik kolam itu kawasan tebatan yang dibina Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai alternatif menghadapi banjir setiap kali hujan lebat dan jelas terpampang papan tanda larangan memancing di kolam berkenaan.
Di suatu sudut, kelihatan beberapa lelaki mengharungi dasar kolam itu untuk menjala ikan manakala beberapa individu memasang umpan pada pancing untuk mencuba nasib dengan tidak menghiraukan bahaya yang menanti selain tidak menghiraukan papan tanda amaran pihak berkuasa berkenaan.
Tinjauan Metroplus mendapati pengunjung taman rekreasi itu membawa keluarga dan anak-anak bermain terlalu hampir permukaan kolam sementara ibu bapa menyediakan peralatan memancing tanpa memikirkan keselamatan.
Selain itu, pagar di sekeliling kolam itu dipotong dipercayai sebagai laluan masuk ke tepi kolam berkenaan dan digunakan pemandu kenderaan berat untuk berhenti rehat di kawasan teduh berdekatan.
Pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Ooi, 50-an berkata, dia dan beberapa rakan sering memancing di kolam itu terutama pada waktu petang.
Katanya, penduduk di pangsapuri berdekatan juga sering datang ke situ terutama pada hujung minggu dan ada di antara mereka yang ‘menempah’ kawasan tertentu sebagai ‘port tetap’ untuk memancing.
Sementara itu, jurucakap DBKL berkata, kawasan itu diuruskan pihaknya menerusi Jabatan Saliran dan Pengurusan Sungai yang menaik taraf takungan itu sebagai kolam tebatan banjir dan mengindahkannya sebagai pusat rekreasi untuk masyarakat setempat.
Katanya, pihaknya sudah menaikkan notis larangan memancing di kolam itu sebagai langkah pencegahan untuk mengelakkan sesuatu berlaku, namun kebelakangan ini aktiviti memancing di kawasan itu semakin menjadi-jadi.
“Kami akan menjalankan pemantauan lebih kerap di kolam berkenaan bagi memastikan tiada orang ramai yang memancing kerana risiko berlaku kejadian tidak diingini tinggi kerana kebanyakan pemancing berada berhampiran tebing yang tiada penghadang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan