Ahad, 6 Mac 2011

Adun Lenggeng bersalah terima suapan kontraktor pasir RM2,000


SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lenggeng, Mustafa Salim didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan menerima suapan daripada seorang kontraktor berkaitan surat sokongan permit menjual pasir, dua tahun lalu.
Mustafa, 53, yang memakai kot hitam, bagaimanapun tenang apabila keputusan itu dibacakan Hakim Amran Jantan. 

Dia yang dilantik sebagai Adun Lenggeng pada 2008 didapati bersalah menerima rasuah RM2,000 daripada M Manimaran, 38, di Restoran Jabrin Maju, Taman Bunga Raya 2, Mantin, Seremban, kira-kira jam 5 petang, 31 Ogos 2008. 
Wang berkenaan didakwa diterima Mustafa sebagai dorongan untuk mengeluarkan permit menjual pasir kepada pengadu. 

Berikutan itu, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 10 (a) (aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun serta denda lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. 

Namun, Mustafa dibebaskan atas dua pertuduhan meminta wang daripada pengadu melalui orang tengah berjumlah RM2,000 dan RM3,000. 
Perbuatan itu masing-masing dilakukan di Lot 1321, Mukim Pantai dan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Dato’ Kelana Makmur, di sini, pada 28 dan 30 Ogos 2008. 

Amran dalam penghakimannya berkata, melalui keterangan bersumpah, tertuduh mendakwa tidak menerima atau meminta wang berkenaan daripada pengadu. 
 “Seorang saksi pendakwaan iaitu anggota SPRM yang berada di lokasi kejadian bagaimanapun mendengar perbualan mereka berkaitan surat sokongan mendapatkan permit menjual pasir dan besi buruk. 

“Selain itu, tertuduh mendakwa tidak mengambil dan hanya mengusik wang berkenaan dalam satu sampul surat di atas meja dan memberitahu dia tidak selesa dengan tindakan pengadu terbabit. 

“Namun, satu rakaman video oleh SPRM menunjukkan tertuduh masih duduk di situ dan dilihat berbual sambil menghisap rokok,” katanya. 

Mahkamah menetapkan tarikh jatuh hukum terhadap tertuduh pada 1 April depan. 

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Kevin Morais manakala Mustafa diwakili peguam Datuk Taqiyuddin Yahya dan Feisal Mustapha.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan