Selasa, 8 Mac 2011

Ajal lepas bertunang

BANTU...anggota bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.


KUALA PILAH: Sungguh menyayat hati apabila seorang gadis yang baru mengikat tali pertunangan kelmarin, menemui ajal bersama dua ahli keluarga lain selepas terbabit dalam kemalangan ngeri di Kilometer 13, Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang, Batu Kikir di sini, semalam.
Sebelum kejadian, Sharifah Saodah Mohd Nazir, 22, yang memandu Proton Wira dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felcra Lakai, Simpang Durian, Jelebu, dekat sini, dalam kejadian kira-kira 2.30 petang.
Turut bersama mangsa kakaknya, Norhashikin Mohd Nazir, 27, dan anak saudaranya, Natasha Amirah Isa, 6, dan Mohd Iskandar Fahmi, 3.

Sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan sebelum merempuh sebuah bas sekolah dari arah bertentangan.

Rempuhan kuat itu menyebabkan Sharifah Saodah mati di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Norhashikin dan Natasha yang cedera parah turut menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Juaseh, dekat sini.

Mohd Iskandar pula hanya patah kaki kanan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), Seremban, untuk menerima rawatan lanjut.

Difahamkan, tiga bersaudara itu baru pulang selepas mengambil motosikal Suzuki Panther milik suami Norhashikin, Isa Rahmat, 32, yang sudah dibaiki, berhampiran bandar itu.

Malah, lebih memilukan apabila Isa yang menunggang motosikal itu berada beberapa kilometer dari kereta yang turut membawa isterinya.

Isa berkata, hanya Allah tahu isi hatinya apabila diberitahu kejadian yang menimpa isteri dan saudaranya yang lain kira-kira jam 3 petang.

“Panggilan dibuat seorang ahli keluarga itu memaklumkan isteri, kakak dan anak saudara sudah meninggal dunia kerana terbabit dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui Bilik Mayat Hospital Kuala Pilah di sini, semalam.

Sementara itu, kakak ipar Norhashikin, Aslinda Muhamad, 33, berkata, dia terkejut apabila menerima khabar sedih yang meragut tiga nyawa insan kesayangannya itu.

Menurutnya, semua mangsa datang ke rumahnya di Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru, Melaka, kira-kira jam 10 pagi semalam, namun mereka tidak sempat berbual panjang.

“Ketika itu, ibu mentua saya, Nurhidayah Awang, 50, baru saja tiba di rumah selepas mengetahui menantu serta dua cucunya itu datang dari Simpang Durian.

“Saya melihat dia (Norashikin) beria-ria mencium kedua-dua pipi ibu mentua saya sambil ketawa.

“Dia kemudian memberitahu mahu segera pulang kerana ada benda mahu diselesaikan di kampung dan takut tidak dapat berjumpa lagi,” katanya yang tidak menyangka ia petanda mangsa akan meninggalkan mereka buat selama-lamanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan