Dalam Islam, jelas bahawa kita diharap bekerja keras dengan ganjaran pahala kerana dengan bekerja (berikhtiar) bersungguh-sungguh serta disertai doa, segala keperluan hidup di dunia dan akhirat mudah diperoleh.
Ini kerana dengan melaksanakan tanggungjawab di dunia dalam memenuhi keperluan hidup, umat Islam dengan sendirinya dapat memiliki kemudahan untuk beribadat kepada Allah SWT.
Bahkan dengan memiliki harta yang memadai, umat Islam dengan mudah dapat membantu umat Islam lain yang hidup dalam kesusahan dan kemiskinan, menderma di jalan Allah, dan menunaikan ibadah haji.
Atas pertimbangan inilah, Khalifah Umar bin Khattab RA menyeru umat Islam supaya tidak malas bekerja: “Janganlah setiap orang daripada kamu suka duduk bermalas-malas daripada berusaha mencari rezeki sambil berdoa; Wahai Tuhanku, berilah rezeki kepadaku, sedang Dia tahu sebenarnya langit tidak pernah menurunkan hujan emas dan perak.”
Sesungguhnya, Allah SWT meredai terhadap orang yang rajin bekerja berdasarkan sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya Allah suka kepada seseorang daripada kamu yang melakukan kerja dengan tekun dan bersungguh-sungguh, dan untuk memperoleh (kejayaan) seperti inilah hendaknya yang beramal itu melahirkan amal usahanya yang bersungguh-sungguh.”
Perlu kita ketahui, untuk bekerja bersungguh-sungguh tidak semudah kata-kata yang terucap di bibir saja. Ia memerlukan motivasi tinggi dan usaha serius supaya kita tidak tergolong dalam orang yang rugi, apatah lagi celaka.
Rasulullah SAW juga pernah bersabda sebagai pedoman kepada umat Islam bermaksud: “Bekerjalah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya, dan bekerjalah untuk akhiratmu seolah-olah kamu akan mati esoknya.”
Natijahnya dalam hadis ini, ia mengajar supaya sebarang pekerjaan yang dapat kita lakukan hari ini, janganlah kita tunggu esok lusa untuk mengerjakannya kerana banyak pekerjaan lain yang sentiasa menanti kita pada masa depan.
Kalau kita lebih cenderung mengerjakan kerja kita pada saat akhir, mustahil bagi kita untuk digolongkan ke dalam golongan orang Muslim produktif.
Untuk itu, sebagai Muslim yang baik, hendaklah kita mempunyai keazaman kuat supaya tergolong dalam orang beruntung jika kita mahu melepaskan diri daripada kongkongan pihak yang menindas.
Sesungguhnya, melakukan kerja bersungguh-sungguh bukan saja dapat membela nasib seseorang, malah mengelak disoal atas tanggungjawab yang diamanahkan, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah an-Nahl, ayat 93 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kamu akan ditanya kelak mengenai apa yang kamu kerjakan.”
Semoga, dengan ini kita sama-sama dapat menjadi Muslim sejati dengan mengikuti panduan daripada al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW dan menjadi insan yang sentiasa mendapat keredaan dan Rahmat Allah SWT di dunia mahupun di akhirat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan