Ahad, 6 Mac 2011

Cawan tengkorak

MEREKA sudah pun mendapat gelaran kanibal. Masyarakat Inggeris purba juga dikatakan gemar menikmati minuman dalam bekas yang diperbuat daripada kepala manusia yang menjadi mangsa mereka.
Cawan tengkorak paling antik di dunia — bekas minuman yang diperbuat daripada tengkorak kepala manusia — barang tinggalan sejarah kira-kira 14,700 tahun lalu ditemui di dalam gua Cheddar Gorge di Somerset, lapor satu kenyataan, baru-baru ini.

Perkakas mengerikan itu dijumpai lebih 20 tahun lalu tetapi baru sekarang saintis dapat mengesahkan bagaimana ia diperbuat menerusi kajian mikroskopi hasil kemajuan dalam bidang sains dan teknologi.
Walaupun tiada siapa dapat memastikan kegunaannya, tidak mustahil jika ia digunakan untuk meminum air atau darah.

Cawan tengkorak itu mungkin diperbuat daripada kepala musuh yang berjaya dibunuh dan digunakan sebagai trofi atau untuk amalan pemujaan roh si mati.

Perkakas itu juga mungkin dicipta akibat daripada krisis kanibalisme — amalan memakan daging manusia apabila tiada makanan lain didapati, lapor jurnal PLoS ONE.
Tiga cawan tengkorak itu antara koleksi tulang manusia dan haiwan yang dijumpai di Gua Gough pada 1980-an dengan corak potongannya mirip akibat perbuatan kanibalisme.

Pakar penyelidik daripada Muzium Sejarah dan Universiti Kolej London mendedahkan bagaimana masyarakat awal Inggeris melakukan proses melapah tubuh manusia.
Teknik digunakan mereka sama seperti melapah tubuh haiwan — fakta itu mengukuhkan lagi bukti wujudnya kanibalisme di kalangan masyarakat Inggeris berabad-abad lampau.

Untuk menghasilkan cawan tengkorak, daging dan rangka disiat secara berhati-hati daripada kepala sebelum tengkorak kemudian dibentuk menjadi bekas menggunakan batu sebagai pisau dan alat pengetuk.

Pakar penyelidik, Silvia Bello berkata: “Kami mengesyaki manusia zaman awal ini berkemahiran tinggi dalam memanipulasi tubuh manusia apabila mangsa mati. Kajian kami mendedahkan golongan ini adalah ‘pakar bedah’ yang hebat.

“Tanda potongan dan lekukan menunjukkan bagaimana kepala mangsa dibersihkan dengan teliti bagi membuang setiap tisu dalamannya selepas kematiannya.

“Tengkorak itu kemudian diubah suai dengan mengeluarkan tulang muka dan bahagian bawahnya. Akhirnya, tengkorak itu dibentuk menjadi cawan dengan sentuhan semula bahagian tepinya yang pecah.

“Secara keseluruhannya, ia adalah proses yang menyakitkan, apalagi peralatan yang digunakan hanya batu.” Pemerhatian secara dekat turut mendedahkan tulang rahang sudah dihancurkan — bagi membolehkan tisu sum-sum disedut keluar. Lidah dan bahagian muka lain juga mungkin dijadikan makanan.

Cawan tengkorak itu — yang dijangka diperbuat daripada tengkorak kepala dua orang dewasa dan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun — mungkin menjadi satu daripada contoh perkakas dapur zaman awal yang dibuang.

Pakar penyelidik, Profesor Chris Stringer berkata: “Keadaan perkakas itu menunjukkan seolah-olah ia tidak selalu digunakan.

“Dalam beberapa lagi contoh terbaru, ada perkakas yang disimpan sejak beratus-ratus tahun lamanya dan menjadi pudar serta buruk selepas kerap digunakan.

“Perkakas cawan tengkorak ini nampak baru dan seolah-olah digunakan untuk jangka waktu singkat — selama beberapa hari, minggu atau bulan.” Satu daripada replika cawan itu akan dipamerkan di Muzium Sejarah mulai bulan depan.

Penduduk penempatan awal di Cheddar Gorge ini sudah lama mati tetapi saudara daripada generasi terkemudian yang hidup kira-kira 11,500 tahun lalu masih hidup dan tinggal di Britain hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan