Selasa, 22 Februari 2011

120 lembu mati diracun

MATI...Sulaiman (dua dari kanan) mendengar penerangan pegawai perkhidmatan veterinar mengenai kematian ratusan lembu, semalam.


SEPANG: Empat bersaudara yang menternak lembu kerugian kira-kira RM200,000 apabila 120 lembu milik mereka mati dipercayai diracun di ladang Petaling Tin, Olak Lempit, dekat sini.
Seorang daripada mereka, M Muniandy, 45, berkata, pihaknya percaya ternakan mereka diberi makanan dicampur dengan racun sebelum mati secara perlahan-lahan.
Katanya, dia menyedari kejadian itu sebaik saja kembali ke ladang ternakan itu dua jam selepas pulang ke rumah yang terletak 10 kilometer dari ladang, kira-kira jam 5 petang, kelmarin.

Menurutnya, dia pelik apabila mendapati seekor demi seekor haiwan ternakan di ladang yang dijaga tiga pekerja itu rebah ke tanah dengan mulut berbuih sebelum mati.

“Ini kejadian pertama yang saya alami. Saya bingung apabila satu demi satu lembu mati selang beberapa minit. Saya percaya ada individu memberikan racun menyebabkan 120 lembu kami mati,” katanya ketika ditemui semalam.

Muniandy berkata, dia tidak pasti sama ada kejadian itu ada kaitan dengan notis arahan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) supaya mengosongkan tanah diduduki itu sebelum 7 Februari lalu.

“Kami menggunakan tanah ini untuk ternakan haiwan selepas mendapat kebenaran PKPS sejak beberapa tahun lalu sebelum diminta mengosongkannya beberapa minggu lalu,” katanya.

Adiknya, M Ambalagan, 41, berkata, kematian 120 lembu ternakan itu menyebabkan dia bersama saudara lain hilang punca pendapatan bagi menyara keluarga.

“Kami sudah membuat laporan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Kuala Langat pada hari kejadian,” katanya.

Pegawai Penyiasat IPPD Kuala Langat, Sarjan Ali Tahar, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 429 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat.

Sementara itu, Pegawai Veterinar Daerah Kuala Langat, Amran Shahir yang ditemui di tempat kejadian tidak menolak kemungkinan haiwan ternakan itu mati akibat diracun berdasarkan jumlahnya yang banyak.

“Kami akan membawa beberapa sampel tisu lembu yang mati itu ke makmal bagi melakukan analisis sebelum laporan lengkap disediakan,” katanya.

Turut sama di tempat kejadian, Ketua Umno Bahagian Kuala Langat, Datuk Sulaiman Karli.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan