IRINGI...pegawai polis bersama dua anggota mengiringi Muhammad Rafiq (dua dari kiri) yang dituduh membunuh anak di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur , semalam.
Tertuduh, Muhammad Rafiq Suresh Abdullah, 37, hanya mengangguk ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Siti Shakirah Mohtarudin.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Rafiq Suresh yang tidak bekerja didakwa membunuh bayi perempuan berumur 10 hari di rumahnya No 1, Jalan Kepong Batu 6 3/4, Jinjang, pada jam 11 pagi sehingga 6 petang, 13 Februari 2011.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Abu Hassan Ramli dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 18 April depan untuk sebutan semula kes. Harian Metro, pada 14 Februari lalu, melaporkan sepasang suami isteri ditahan selepas cuba menanam anak kelima yang meninggal dunia selepas 10 hari dilahirkan dalam lubang di belakang rumah mereka di kawasan setinggan di Jinjang Utara.
Kejadian jam 1.45 tengah hari itu disedari jiran pasangan terbabit selepas bapa bayi berkenaan datang meminjam cangkul dengan alasan untuk menanam uri bayinya yang baru dilahirkan.
Sementara itu, menurut sumber, bayi itu ditemui dalam lubang yang baru digali di belakang rumah suspek.
Katanya, mayat bayi itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
Berikutan itu, pasangan terbabit berusia 40-an ditahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan