Khamis, 10 Februari 2011

Meraung suami rentung

USUNG...anggota bomba dan penyelamat membawa keluar mayat pekerja kilang perabot.

SEDIH...Liu Tee Hiong tidak dapat menahan kesedihan selepas mengetahui suaminya terperangkap dan maut.

PUCHONG: Seorang isteri hanya mampu menangis hiba sambil meronta kesedihan selepas menyedari suaminya terperangkap dan mati terbakar hidup-hidup selepas kilang perabot tempat mereka bekerja di Jalan BK 1/9, Bandar Kinrara, Puchong, di sini, terbakar awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, wanita terbabit, Liu Tee Hiong, 21, yang juga warga Vietnam sempat lari menyelamatkan diri melalui pintu belakang kilang dengan meninggalkan suaminya, Ma Van Man, 26, yang masih terperangkap dalam kilang dua tingkat berkenaan bersama sepasang suami isteri warga sama, Dao Van Kien, 28, dan Ngo Yen Chai Nhung, 35 serta seorang lelaki warga tempatan, B Prabu, 21 .
Lebih menyedihkan apabila anggota bomba dan penyelamat yang melakukan pemeriksaan sebaik api berjaya dipadamkan sepenuhnya menemui mayat sepasang suami isteri itu hangus dalam keadaan berpelukan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Anuar Harun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kes kebakaran itu jam 1.10 pagi sebelum tiba ke lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.

Menurutnya, empat jentera bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Bukit Puchong, Subang Jaya, Petaling Jaya dan Shah Alam yang dikerahkan ke lokasi kejadian hanya dapat mengawal kebakaran daripada merebak, kira-kira jam 1.58 pagi.

Beliau berkata, kebakaran itu disedari seorang daripada pekerja yang segera mendapatkan bantuan sebuah kereta peronda polis yang kebetulan membuat rondaan di kawasan itu.

“Anggota polis terpaksa memecahkan rantai kunci di belakang stor itu bagi menyelamatkan mangsa kerana api marak terlalu cepat berikutan terdapat bahan mudah terbakar seperti span dan kayu dalam stor itu,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, terdapat tujuh pekerja dalam kilang itu dan semua mereka sedang lena tidur.

“Berdasarkan laporan awal, kebakaran dipercayai bermula dari bahagian hadapan kilang,” katanya,

Bagaimanapun, hanya tiga pekerja kilang itu yang berjaya keluar melalui pintu di bahagian belakang kilang manakala empat lagi pekerja kilang terbabit terperangkap dan mati terbakar.

“Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian kemudian menemui empat mayat mangsa yang rentung di tiga lokasi berbeza di bahagian bawah kilang,” katanya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan