Ahad, 13 Februari 2011

Revolusi Mesir Menghantar Mesejnya Kepada Penguasa.



Biasanya sukar untuk manusia mengambil pengajaran daripada peristiwa atau insiden yang berlaku pada pihak lain. Kejatuhan Husni Mubarak belum tentu mengendurkan jerutan pemerintah terhadap kebebasan dan keadilan di negara masing-masing. Presiden atau Perdana Menteri lebih suka mengambil sikap berhati-hati sambil bertindak mengawal situasi. Mereka tidak akan bermurah hati untuk melunaskan kehendak rakyat , khususnya kehendak pihak pembangkang dalam negara.
                                                           
Mereka bersikap demikian kerana berandaian situasi, pemasalahan dan layanan kepada rakyat berbeza. Perdana Menteri dalam respon awalnya menolak revolusi rakyat berlaku dalam negara dengan beralaskan slogan ‘rakyat didahulukan’. Seolah-olahnya, Mesir tidak mendahulukan rakyat; yang mendahulukan rakyat ialah Malaysia sahaja. Benar Mesir tidak mempromosikan 1Mesir, “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’. Namun apa yang Husni Mubarak lakukan dan dakwakan selama ini ialah segala perancangan kerajaannya adalah dalam kerangka membangunkan hidup rakyat Mesir. Cuma beliau tidak berkata, “rakyat didahulukan.”

Dalam usaha membangunkan kehidupan rakyat Mesir, Husni Mubarak menimbun kekayaaan untuk diri sendiri. Nepotisme dan kronisme diamalkan. Rakyat terus dicengkam dengan masalah kenaikan harga barang, kos hidup yang melambung sementara gaji kakitangan kerajaan dan pendapatan rakyat tidak meningkat selaras dengan kos sara hidup.

Di Malaysia, pemimpin kerajaan bercakap  ke sana sini dengan projek berbilion ringgit. Namun rakyat semakin tercabar dengan kenaikan harga barang. Maka rakyat mula mempertikaikan konsep rakyat didahulukan apabila rakyat terasa merekalah yang kena dahulu. Sehingga kini, rakyat masih mampu menyerap tekanan. Keadaan ekonomi tidak sekronik di Mesir. Namun senario semasa memperlihatkan arah ke mana titik nokhtahnya akan tertuju. Dengan prestasi ekonomi negara sekarang, kita dapat menjangkakan akan tiba saatnya rakyat akan menghumbankan pemerintah seperti Mubarak dan konco-konconya.

Selain itu, ketidakpuasan hati rakyat terhadap sistem demokrasi yang diamalkan oleh penguasa semakin membuak. Rakyat akan menilai sejauh mana adilnya pilihan raya seterusnya. Bagaimanakah SPR berperanan? Bagaimanakah keadilan media dipersembahkan kepada rakyat? Andai kata rakyat terasa bahawa mereka diperbodohkan melalui demokrasi ala Mesir, maka tidak mustahil mereka akan bangkit menuntut hak politik mereka. 
                                                 

Kerajaan BN dan SPR boleh melakukan apa-apa sahaja mengikut takrifan dan cita rasa mereka selagi rakyat boleh bersabar. Ya, rakyat Malaysia tinggi tahap kesabaran, sederhana tahap keberanian dan rendah semangat jihadnya.  Seandainya penguasa merasakan tahap-tahap itu akan terus kekal begitu, maka selayaknyalah kerajaan terus melayan rakyat seperti hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan