Jumaat, 18 Februari 2011

Mengapa ANAK Tidak BERSIH?


Oleh:
BayangDiAir

PAS menubuhkan ANAK untuk membela kaum peneroka yang dinafikan hak-hak mereka.  Political Mileage-nya PAS berjaya menembusi hati nurani masyarakat Felda untuk mengenali dan seterusnya menyokong perjuangan PAS. Sebelum ANAK, PAS lebih dahulu mewujudkan BERSIH yang bertujuan menuntut terlaksananya sebuah pilihanraya yang adil. Political mileage-nya PAS dapat bersaing di padang yang sama rata. Nampaknya, si adik dahulu yang berjaya menghadiah ‘straight A’ kepada si ayah. Si abang sudah merantau jauh dan tugas itu telah diambil oleh BERSIH 2.0 yang bukan kepunyaan si ayah.

Bukanlah tujuan penulis hendak membandingkan kejayaan kedua-dua NGO bikinan PAS ini. Lebih-lebih lagi arenanya berbeza. Justeru itu, tidak wajar diukur dengan indikator yang sama. Namun sedikit sebanyak kita boleh menilai  unsur-unsur positifnya daripada perbandingan ini.

Persoalannya ialah mengada terjadi nasib dan tuah yang berbeza antara BERSIH dengan ANAK? Tanpa bertujuan mencari kesilapan, hasratnya adalah untuk menilai kekuatan dan kelemahan demi sebuah kebangkitan.

Pertama, aspek kepimpinan dan keanggotaan yang berbeza sifatnya. Apabila sesebuah organisasi itu dipimpin dan dianggotai oleh pemimpin yang sudah sarat dengan tugas-tugas penting parti, maka pemimpin itu tidak ada cukup masa untuk menguruskannya. Tahap kemampuannya akan mudah tepu. Kondisi ini menjejaskan kemajuan dan kemandirian organisasi tersebut. Justeru itu, parti perlu teliti dalam penyerahan amanah dan tanggungjawab dari segala aspek.

Kedua, kejayaan organisasi ditentukan oleh tahap keterampilan, minat, daya juang dan pengorbanan pemimpin dan ahli. Kriteria ini menjadi ciri penting kelangsungan sesebuah organisasi. Bukan semua pemimpin mampu menghimpunkan segala kekuatan itu dalam kepimpinannya. Individu perlu mempunyai stamina, iman dan istiqamah dalam menghadapi kekangan, cabaran dan tribulasi yang sedia menanti.

Ketiga, sokongan kewangan yang mencukupi untuk urusan pengurusan dan logistik perlu diperkasakan. Untuk tujuan ini satu dana perlu diwujudkan khusus untuk organisasi yang tidak bersifat komersil. Sekiranya parti tidak mempunyai kemampuan, sumbangan daripada penyokong hendaklah diperoleh. Penyokong yang mendapat penerangan yang jelas dan meyakinkan tidak lokek untuk memenuhi tabung-tabung kutipan. Apalagi penyokong dan ahli PAS yang sedia memahami bahawa segala bentuk sumbangan mereka adalah jihad di jalan Allah.

Berbalik kepada BERSIH dan ANAK. BERSIH dalam tuntutannya lebih menjurus kepada ceramah dan demonstrasi. Kejayaannya sahaja sudah diukur melalui berapa ramai orang turun ke jalanraya sekitar ibu kota menuju Istana Negara. Kejayaannya tidak pernah diukur sama ada dapat dua tuntutan daripada empat yang diminta. Pemimpin menilai dari sudut yang berbeza daripada yang sepatutnya dinilai. Manakala ANAK yang mendakwa telah berjaya dalam kerjanya, turut diakui oleh rakyat jelata. Mereka sudah nampak impaknya dan parti telah mendapat sedikit habuannya. Berikan masa kepada ANAK beberapa tahun lagi bersama dengan bantuan dan sokongan, insya-Allah para peneroka akan menjadi lebih celik politik mereka.

Perbandingan yang diutarakan bukan bertujuan mengangkat si adik dan menjatuhkan si abang. Sebaliknya, PAS mesti bertindak membaiki mana-mana kepincangan dan memberi penambahbaikan kepada unit dan lujnah di bawahnya.  

Tuntutan piliharaya yang adil mesti diinstitusikan semula. Benar kini sudah ada BERSIH 2.0 yang bergerak dengan caranya sendiri. Mudah-mudahan mereka mampu merealisasikan apa yang diimpikan oleh rakyat Malaysia. Namun sejak dilancarkan, kita tidak nampak satu usaha yang meyakinkan selain forum mengajak audiens berbual dan mendengar pandangan. Orang ramai tidak tahu langkah dan destinasi BERSIH 2.0 seterusnya setelah dielitkan. Tiada berita, tiada laporan dan tiada perkembangan sedangkan PRU13 semakin nyata di ambangnya.

Kadang-kadang kita tertanya-tanya mengapa apabila hampir pilhanraya barulah BERSIH mahu menggerakkan misinya seolah-olah kerajaan dan SPR dapat mengambil masa setengah hari untuk melaksanakan tuntutannya. Nampaknya sekali lagi selepas tiga tahun kita akan melalui satu pilihanraya yang tidak suci daftar pemilihnya, hilang dakwat kukunya, tempang medianya dan semakin kemaruk undi posnya. Akhirnya rakyat bertanya,”adakah UMNO/Barisan Nasional itu sangat kuat atau sebenarnya PAS/Pakatan Rakyat yang lemah?”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan